
KUCHING: Konsul Jeneral Republik Indonesia di Kuching, Dr Abdullah Zulkifli, baru-baru ini mengadakan kunjungan hormat ke atas Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng.
Kunjungan itu bertujuan memperkukuh hubungan dua hala serta meneroka potensi kerjasama baharu antara bandar raya ini dan bandar-bandar di Indonesia.
Pertemuan tersebut turut disertai Timbalan Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Zaiedi Suhaili, dan memfokuskan perbincangan mengenai peluang kerjasama dalam bidang kraf serta seni rakyat antara Kuching dan beberapa bandar di Indonesia.
Antara perkara dibincangkan termasuk usaha memperkukuh kerjasama dalam kraftangan tradisional, menggalakkan pertukaran budaya, memperluas jaringan artisan serta mewujudkan peluang penganjuran program bersama melibatkan inovasi reka bentuk, pembangunan kemahiran, pameran dan keusahawanan kreatif.
Dato Wee dalam pertemuan itu menegaskan bahawa pengiktirafan Kuching sebagai UNESCO Bandar Kreatif Gastronomi turut membuka ruang lebih luas untuk kerjasama dalam bidang warisan kulinari, inovasi makanan dan pelancongan kreatif.
Menurut beliau, kerjasama dengan bandar-bandar di Indonesia berpotensi memperkukuh promosi bersama masakan tempatan, pertukaran cef, penganjuran festival makanan serta pembangunan program pelancongan berasaskan kulinari yang meraikan kepelbagaian budaya serantau.
Kedua-dua pihak turut bersetuju bahawa kerjasama sedemikian bukan sahaja mampu mengeratkan hubungan rakyat dengan rakyat, malah berupaya mewujudkan peluang ekonomi khususnya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), artisan serta penggiat industri kreatif dan pelancongan.
Usaha itu juga dilihat dapat menyumbang kepada pembangunan mampan menerusi pertumbuhan ekonomi berasaskan budaya, selari dengan aspirasi bersama Kuching dan bandar-bandar di Indonesia dalam memanfaatkan kekuatan kreatif sebagai platform kerjasama antarabangsa, diplomasi budaya dan pembangunan ekonomi lestari.