

KUCHING: Pertubuhan Pengguna Sarawak (PPS) memandang serius satu kejadian kecurian melibatkan dua biji rim tayar sebuah kenderaan yang berlaku di kawasan parkir sebuah apartment di negeri ini.
Kejadian itu sekali gus menimbulkan persoalan mengenai tahap keselamatan serta tanggungjawab pihak pengurusan premis berkenaan.
Pengerusi PPS, Dr. Wynson Ong berkata, pihaknya menerima aduan rasmi daripada seorang penduduk apartment tersebut berhubung kejadian kecurian yang dipercayai berlaku dalam tempoh satu malam.
Menurut aduan, pengadu telah meletakkan kenderaannya di petak parkir dalam kawasan apartment berkenaan pada 31 Disember 2025. Namun, keesokan harinya, pengadu mendapati dua biji rim tayar kenderaannya telah hilang.
Susulan kejadian itu, pengadu telah membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan, termasuk semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), sebelum mengemukakan aduan rasmi kepada PPS untuk tindakan lanjut.
PPS menegaskan bahawa kejadian seumpama itu amat sukar diterima memandangkan kebanyakan penduduk memilih untuk tinggal di apartment atas faktor keselamatan, pengurusan yang lebih teratur serta persekitaran yang sepatutnya selamat.
“Apabila kejadian jenayah boleh berlaku dalam kawasan yang mempunyai kawalan keselamatan dan sistem pemantauan, maka persoalan besar timbul mengenai keberkesanan langkah keselamatan serta tanggungjawab pihak pengurusan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut PPS, pihaknya telah menghubungi pengurusan apartment terbabit bagi mendapatkan penjelasan rasmi. Namun setakat kenyataan ini dikeluarkan, tiada sebarang tindakan konkrit diambil selain memaklumkan bahawa kes tersebut masih dalam proses semakan.
Sehubungan itu, PPS menggesa pihak pengurusan apartment agar segera menangani isu berkenaan secara serius serta memberikan penjelasan yang telus dan adil kepada para penduduk.
“Yuran penyelenggaraan bulanan yang dibayar penduduk bukan sekadar untuk kemudahan parkir, tetapi turut merangkumi jaminan keselamatan asas dan perlindungan harta benda,” tegasnya.
PPS turut menekankan bahawa dengan pertambahan pesat pembangunan perumahan jenis apartment di Sarawak, aspek keselamatan perlu diberi keutamaan kerana insiden seperti ini bukan sahaja melibatkan kerugian harta benda, malah berpotensi menjejaskan keselamatan dan kesejahteraan penduduk.
Menurut PPS, kejadian berkenaan tidak seharusnya dianggap sebagai kes terpencil, sebaliknya perlu dijadikan peringatan kepada semua pihak pengurusan apartment supaya tidak memandang ringan aspek keselamatan.
PPS memaklumkan akan terus memantau perkembangan kes tersebut dan mengambil tindakan susulan yang perlu demi melindungi kepentingan pengguna.
Orang awam yang mempunyai sebarang aduan atau maklumat berkaitan isu kepenggunaan boleh menghubungi Pejabat PPS di talian 017-710 9299.
Oleh Shikin Mahmud