


LAWAS: Polis Daerah Lawas telah menahan tiga lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes penyalahgunaan dadah.
Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Liong Tindan berkata, tangkapan pertama dilakukan pada 5.10 petang semalam di hadapan sebuah rumah di Jalan Lawas Damit.
“Seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun yang bekerja sebagai buruh didapati berada dalam keadaan mencurigakan dan disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.
“Pemeriksaan ke atas tubuh badan suspek membawa kepada penemuan dan rampasan satu keratan tiub straw berisi hablur kristal jernih yang disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat kasar 1.11 gram.

“Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Semakan rekod mendapati suspek mempunyai tiga kesalahan lampau berkaitan dadah. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada hari yang sama, di hadapan sebuah rumah di Jalan Lawas Damit, sepasukan polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun yang bekerja sebagai pekerja swasta kerana berada dalam keadaan mencurigakan dan disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.
Semasa pemeriksaan, pihak polis tidak menemui sebarang barang terlarang atau dadah. Bagaimanapun, hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Semakan kesalahan lampau mendapati saspek tidak mempunyai kesalahan lampau berkaitan dadah. Kes disiasat mengikut seksyen 15(1)(a) ADB 1952.
Sementara itu, dalam kes berasingan, pihak polis menahan seorang suspek tempatan berusia 37 tahun yang dilaporkan membakar harta benda milik keluarganya di Jalan Ba’kelalan, Lawas.
Pihak polis menerima laporan daripada mangsa, yang juga ahli keluarga terdekat suspek, berhubung kejadian tersebut. Punca sebenar insiden masih dalam siasatan pihak berkuasa.
Hasil ujian air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Semakan rekod mendapati suspek tiada kesalahan lampau. Kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Oleh Adeng Edrus