
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan sembah ucap selamat kepada Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah yang bakal menjalani rawatan lutut pada hujung minggu ini.
“Patik serta rakyat mendoakan semoga Kebawah Duli Tuanku selamat menjalani rawatan ini dan dikurniakan Allah SWT kesembuhan yang sempurna, serta dipermudahkan semua urusan berkaitan,” titah Seri Paduka Baginda dalam hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini.
Semalam, kenyataan Jabatan Perdana Menteri Brunei memaklumkan bahawa Sultan Hassanal Bolkiah dijadualkan menjalani prosedur pembedahan penggantian sendi lutut kanan pada 18 Januari ini.
Setelah pembedahan, tempoh pemulihan baginda dijangka mengambil masa selama dua hingga tiga bulan termasuk sesi fisioterapi. – Bernama