
SARIKEI: Pihak bomba telah menjalankan rondaan pemantauan monsun timur laut (MTL) di Jalan Ulu Sarikei di Bayong pada pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei, Arrahman Chik, berkata dua orang anggota bomba telah menjalankan pemantauan di kawasan tersebut.
“Rondaan pemantauan di kawasan rendah berisiko banjir ini bermula pada 8.40 pagi.
“Sepanjang pemantauan, anggota bomba mendapati keadaan adalah terkawal dengan trend air surut walaupun cuaca hujan renyai,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, paras air di kawasan tersebut didapati menurun dan berada pada tahap selamat.
“Sepanjang rondaan dijalankan, pihak kami tidak menerima sebarang panggilan kecemasan.
“Rondaan pemantauan berkala sepanjang tempoh MTL adalah sebagai langkah kesiapsiagaan bagi memastikan keselamatan penduduk di kawasan berisiko sentiasa terjamin,” katanya.
Oleh Earl Anek