
SEBUAH pengisahan perihal mitos kadangkala tidak memerlukan rincian yang tidak perlu. Kadangkala, ia hanya memerlukan rentak penceritaan untuk menggambarkan kemegahan mitos ataupun kengeriannya.
Namun, ia juga harus bersyarat. Para pembaca kebanyakan harus memahami konteks di sebalik debar rasa ataupun kefahaman yang didambakan pengarang.
Cerpen “Pesan di Penghujung Musim” adalah sebuah cerpen yang lembut penyampaiannya. Ia tidak terlalu keras melontar fakta. Ia tidak ingin menjadi sebuah cerpen pengenalan ke atas mitos.
Ia hanya sekadar menyampaikan pesanan seorang nenek perihal alam yang digambarkan melalui dusun durian yang terbiar. Dan Kreman, watak utamanya, berhasil menghadirkan rasa kerdil pembaca terhadap alam melalui pergerakan dan rencah rasa yang digulatinya di sepanjang penceritaan.
Maksud jelas yang diangkat oleh cerpen ini tertera di dalam ayat-ayat berikut:
“Nenek selalu mengajarkan kita tentang pentingnya menghormati alam dan segala isinya. Dusun durian itu bukan sekadar tanah biasa. Ia adalah tempat yang hidup, penuh dengan roh-roh yang telah lama wujud. Nenek selalu berkata, tempat itu dijaga oleh mereka yang telah pergi, yang pernah memelihara dusun itu suatu ketika dahulu. Mereka yang menjaga tanah dan pokok durian itu, memberikan berkat kepada sesiapa yang menghormati mereka.”
Secara ringkasnya, cerpen ini memanfaatkan latar desa, dusun durian di kawasan gunung dan kepercayaan tradisi Melayu terhadap alam ghaib sebagai teras penceritaannya. Secara asas, cerpen ini mempunyai kekuatan pada pemilihan suasana, unsur folklore dan niat tematik yang jelas, iaitu pertembungan antara manusia dengan alam, serta kepercayaan turun-temurun tentang “hak” makhluk yang tidak kelihatan.
Namun begitu, kekuatan niat ini masih belum sepenuhnya diterjemahkan kepada sebuah cerpen yang padu dari segi struktur naratif, ekonomi bahasa dan pembinaan dramatik.
Cerita ini berfungsi lebih sebagai naratif pengalaman yang panjang berbanding sebuah cerpen yang tersusun dengan konflik dan resolusi yang tajam.
Dari sudut penceritaan, cerpen ini bermula dengan deskripsi suasana dusun durian yang terperinci dan berlapik.
Gambaran tentang penghujung musim buah, kesunyian dusun dan perbezaan antara musim lalu dengan musim semasa disampaikan dengan cukup teliti.
Namun, masalah utama di peringkat awal ialah kecenderungan pencerita untuk berulang-ulang menekankan idea yang sama—kesunyian, kehilangan kemeriahan dan perubahan suasana—tanpa perkembangan makna baharu.
Perenggan-perenggan awal ini sebenarnya boleh dipadatkan tanpa menjejaskan kesan emosi, malah akan menjadi lebih kuat jika setiap deskripsi membawa implikasi baharu terhadap konflik cerita, bukannya sekadar pengulangan suasana yang muram.
Plot cerpen ini bergerak secara linear dan mudah diikuti, namun kelemahannya terletak pada struktur dramatik yang terlalu mendatar sifatnya.
Konflik utama, iaitu pelanggaran pesan nenek dan pencerobohan Kreman ke dusun pada penghujung musim—sebenarnya menjanjikan ketegangan yang besar. Namun konflik ini tidak dibangunkan secara bertahap.
Sebaliknya, cerita bergerak terlalu cepat daripada rasa ingin tahu kepada pengalaman ghaib, tanpa memberi ruang yang cukup untuk pembaca merasakan dilema dalaman Kreman.
Keputusan Kreman untuk ke dusun, misalnya, dibuat hampir serta-merta dan kurang dibebani konflik batin yang mendalam. Jika pencerita memperlahankan bahagian ini dengan menunjukkan pertentangan antara rasional dan kepercayaan, atau rasa bersalah terhadap pesan nenek, watak Kreman akan tampil lebih meyakinkan dan manusiawi.
Yang jelas, pencerita hanya bertunjangkan rasa ingin tahu Kreman untuk memacu perjalanan cerita tanpa disertakan kekukuhan niat yang nyata. Pelanggaran larangan ini sekadar dipacu seruan dan keinginan yang menyatu menjadi hasrat peribadi.
Kita soroti tulisan pengarang seperti berikut:
“Kreman duduk di beranda rumah, memerhatikan bulan yang bersinar terang di langit. Ketika itulah dia terasa seakan-akan ada yang memanggil.”
Kalimat ini, jelas menggambarkan bahawa Kreman itu sendiri tidaklah dibina sebagai watak polos tanpa sebab. Watak Kreman itu didorong oleh suatu suara yang memanggil, justeru menampakkan permainan psikologikal yang agak pintar yang dimainkan oleh pengarang.
Meskipun ia berhasil mencetuskan detak rasa debar pada pembaca, konteksnya masih tidak dibina kukuh. Pembaca tidak disuguhkan alasan ‘pemilik’ suara itu menyeru Kreman.
Bahkan ia menghadirkan kontradiksi dengan larangan nenek yang mengharapkan Kreman menghormati roh nenek moyang yang melindungi dusun itu. Kontradiksi ini, jika dijernihkan, akan mengukuhkan lagi kekuatan aspek pembinaan watak Kreman sekali gus lebih menyakinkan pembaca.
Watak Kreman sendiri merupakan pusat cerita, namun pembinaannya masih bersifat satu dimensi. Kreman digambarkan sebagai anak kampung yang berani, ingin tahu dan sedikit degil, tetapi sifat-sifat ini lebih diberitahu daripada diperlihatkan.
Banyak perasaan Kreman dinyatakan secara langsung—takut, cemas, hairan—tanpa cukup sokongan tindakan atau reaksi yang berlapis. Dalam cerpen yang berunsur seram atau ghaib, kekuatan sebenar terletak pada ketegangan psikologi, bukan semata-mata peristiwa luar biasa.
Sekiranya pencerita menunjukkan ketakutan Kreman yang perlahan-lahan meresap melalui perubahan tingkah laku, dialog dalaman yang lebih halus (subtle), atau keputusan-keputusan kecil yang silap, kesan seram itu akan menjadi lebih mendalam dan berpanjangan.
Salah satu kelemahan yang ketara ialah kecenderungan cerpen ini untuk “menjelaskan” terlalu banyak perkara yang sepatutnya dibiarkan samar. Pesanan nenek, konsep “mereka” dan kepercayaan tentang penjaga dusun sebenarnya sangat kuat sebagai simbol dan mitos tempatan.
Namun cerpen ini akhirnya memilih untuk memberikan penjelasan yang terlalu jelas melalui dialog ibu pada bahagian akhir. Akibatnya, unsur misteri yang dibina sepanjang cerita menjadi lemah kerana pembaca tidak lagi dibiarkan berteka-teki.
Dalam cerpen yang baik, khususnya yang berunsur ghaib, jawapan tidak semestinya perlu diberikan sepenuhnya.
Kita telusuri kembali dialog ibu yang dimaksudkan:
“Tidak semua yang kita lihat di dunia ini adalah seperti yang kita fikirkan. Alam ini penuh dengan misteri. Kadang-kadang, mereka yang telah pergi pasti datang untuk menjaga tempat yang mereka sayangi, atau mungkin mereka ingin menunjukkan sesuatu kepada kita. Nenek selalu berkata, jika kita menjaga dusun itu dengan baik, mereka akan melindungi kita. Tetapi jika kita tidak menghormatinya, mereka akan menunjukkan ketidaksenangan mereka.”
Jika diteliti, terdapat ambiguiti dalam dialog tersebut. Kita disajikan dengan kontradiksi apabila Kreman seperti diseru, namun apabila dia masuk ke dalam dusun, perbuatan itu dilihat seperti tidak menghormati penjaga ghaib yang pada awalnya kelihatan seperti menyeru Kreman. Ia mencetuskan ketidakpastian.
Kadangkala, ketidakpastian itulah yang meninggalkan kesan paling lama kepada pembaca. Namun, ketidakpastian yang dicetuskan kontradiksi ini meninggalkan pertanyaan yang mengganggu—apakah yang menyeru Kreman ke dalam dusun itu entiti yang sama memerangkapnya ketika berada di dalam dusun?
Dan apakah tujuan entiti itu? Barangkali, penulis harus memikirkan solusi untuk memastikan kontradiksi itu terjawab secara halus, sepertimana yang penulis garapkan sepanjang penceritaan ini.
Dari segi teknik penceritaan, terdapat juga masalah ketidakseimbangan fokus. Beberapa perincian teknikal seperti jenama lampu suluh, bateri tambahan atau penjelasan panjang tentang nasi dan bubur pagi hari mengambil ruang naratif yang terlalu besar berbanding kepentingannya kepada tema utama.
“Lampu Panasonic jimat tenaga yang dipasang di tengah-tengah bilik berkelip-kelip secara tiba-tiba, menambah rasa ketegangan dalam ruang yang sepi itu.”
Perincian seperti ini boleh berfungsi sebagai unsur realisme, tetapi dalam cerpen, setiap butiran harus menyumbang kepada konflik, tema atau perkembangan watak.
Perincian itu harus membina momen intensiti pada penceritaan dan berfungsi selaku pelukisan latar yang apabila dibaca, akan menghadirkan semacam imej yang dikehendaki penulis terpacul dalam kepala pembaca.
Apabila perincian menjadi terlalu literal dan berpanjangan, ia melambatkan tempo cerita dan mengurangkan ketegangan yang telah dibina sebelumnya.
Struktur klimaks cerita juga memerlukan penajaman. Bahagian Kreman sesat, melihat bayangan, durian rosak dan melarikan diri sebenarnya mengandungi potensi dramatik yang besar.
“Kreman teringat kembali akan kejadian di mana dua orang pemuda yang mencari buah asam di dalam gunung telah disimpan oleh “Nenek Kebayan” selama tujuh hari tujuh malam.”
Watak Nenek Kebayan sekadar disebut tetapi tidak dilanjutkan lagi seramnya. Benar, apabila kita menyoroti penceritaan penulis, ia tidak memberatkan pada keinginan untuk mengungkapkan definisi raksasa ataupun entiti menakutkan dalam cerpen ini.
Tetapi tidaklah pula bermakna penulis harus meletakkan ambiguiti dalam pelakaran watak antagonis yang wajar dikonkritkan demi memberi kefahaman tuntas ke atas konflik yang menimpa Kreman.
Jika bukan Nenek Kebayan, maka apakah entiti yang mengganggu Kreman di dusun? Serasanya pembaca mendambakan definisi entiti yang membentuk alur penceritaan kepada cerpen ini.
Dan sesudah itu, kita soroti pula apa yang watak Kreman ini lalui. Kita disuguhkan dengan babak seperti berikut:
“Sekiranya seseorang itu bukan perokok, hendaklah dibelah akar yang menjalar di tengah-tengah lalu melangkah masuk ke dalam akar itu untuk keluar dari kurungan dan kembali ke alam manusia.”
Tanpa berlengah, Kreman memutuskan untuk mengikuti petua itu. Dengan tekad yang kuat, dia membelah akar yang menjalar di hadapannya. Setelah beberapa saat, dia melangkah masuk ke dalam celah-celah akar yang besar itu. Suasana yang kelam dan hening seolah berubah menjadi semakin terang. Tanpa membuang masa, Kreman terus berlari menuruni kawasan dusun yang seolah-olah cuba menahannya.
Babak ini penting. Ia memberi pengetahuan baharu yang mengujakan. Pada waktu yang sama, keterujaan itu pula dibantutkan oleh lakaran bersahaja babak tanpa penekanan pada perasaan dan keadaan tubuh Kreman sewaktu kejadian.
Peristiwa-peristiwa ini berlaku secara berturut-turut tanpa puncak emosi yang benar-benar menonjol. Tiada satu detik yang benar-benar berfungsi sebagai titik perubahan mutlak dalam diri Kreman.
Jika satu peristiwa dipilih dan dibangunkan sebagai klimaks utama—contohnya saat durian berubah menjadi rosak atau saat Kreman menyedari dia sedang “disesatkan”—dan diberikan ruang naratif yang lebih mendalam, keseluruhan struktur cerpen akan menjadi lebih kemas dan berkesan.
Penulis boleh menggambarkan Kreman tercedera serba sedikit. Barangkali, terseliuh atau calar-balar. Disusuli pula dengan erang sakit bagi menggambarkan getirnya suasana yang dihadapi Kreman ketika itu.
Boleh juga diterapkan gambaran Kreman yang digulati rasa takut yang mendalam. Degup jantung, tangan menggeletar, peluh dingin merecik atau apa-apa sahaja bahasa tubuh ketika mendepani ketakutan wajar digambarkan serinci mungkin demi menghasilkan kesan emosi yang diinginkan pada pembaca.
Bahagian penutup cerpen pula cenderung bersifat ekspositori dan didaktik. Dialog ibu yang menerangkan falsafah hubungan manusia dengan alam, roh nenek moyang dan kepercayaan tradisi terasa seperti rumusan tema yang terlalu langsung.
Walaupun mesej ini penting, cara penyampaiannya mengurangkan kekuatan sastera cerpen. Penutup yang lebih berkesan mungkin boleh dicapai dengan tindakan simbolik—contohnya Kreman memilih untuk tidak kembali ke dusun, atau melihat dusun dari jauh dengan perasaan berbeza—tanpa perlu menjelaskan segala-galanya melalui dialog.
Dari sudut bahasa, cerpen ini menggunakan bahasa Melayu yang jelas dan mudah difahami, namun masih boleh diperhalusi dari segi ekonomi dan ketepatan. Terdapat ayat-ayat yang terlalu panjang dan berlapik sehingga melemahkan impak emosi.
Pemilihan kata juga kadangkala terlalu umum untuk menggambarkan pengalaman ghaib yang sepatutnya bersifat luar biasa. Dengan memperkemas ayat, mengurangkan pengulangan frasa dan memilih metafora yang lebih segar, bahasa cerpen ini boleh menjadi lebih tajam dan berkesan.
Secara keseluruhan, cerpen “Pesan di Penghujung Musim” mempunyai asas cerita yang kukuh, berakar pada kepercayaan tempatan dan hubungan manusia dengan alam.
Namun untuk menjadikannya sebuah cerpen yang benar-benar berkesan, pencerita perlu menstrukturkan semula plot agar lebih dramatik, memperdalam konflik dalaman watak, mengurangkan penerangan berlebihan dan memberi kepercayaan kepada pembaca untuk mentafsir makna yang tersirat.
Dengan penambahbaikan ini, cerpen tersebut berpotensi menjadi sebuah karya seram-folklor yang lebih padu, matang dan meninggalkan kesan emosi yang lebih mendalam kepada pembaca.
Oleh Lokman Hakim