
KUCHING: Konsep penubuhan AirBorneo adalah berbeza sepenuhnya daripada model syarikat penerbangan komersial sedia ada, dengan matlamat utama menghubungkan ekonomi pulau Sarawak dengan ekonomi luar serta meletakkan kebajikan rakyat sebagai keutamaan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata Sarawak sebagai sebuah wilayah pulau memerlukan sistem pengangkutan yang cekap bagi memastikan hubungan berterusan antara ekonomi dalaman dan ekonomi luaran.
“Kita hidup di pulau. Orang datang ke pulau ini bukan dengan berenang, tetapi melalui kapal atau kapal terbang. Maka ekonomi pulau mesti dihubungkan dengan ekonomi luar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi Townhall sempena 9 Tahun Bersama Premier Sarawak yang berlangsung di Pusat Acara Hikmah Exchange, di sini, hari ini.
Beliau berkata, prinsip yang sama telah diguna pakai dalam pembangunan infrastruktur negeri sebelum ini, termasuk pembinaan 22 jambatan di Sarawak tanpa mengambil kira pulangan pelaburan.
“Jambatan-jambatan ini kita bina bukan semata-mata untuk keuntungan, tetapi untuk menghubungkan rakyat dan ekonomi. AirBorneo juga merupakan satu bentuk jambatan,” jelasnya.
Menurut beliau, kerajaan negeri menyediakan modal permulaan bagi AirBorneo, manakala kos operasi penerbangan akan dikira dan ditampung sekadar mencukupi, tanpa mengambil kira kos overhed awal.
Dalam menjelaskan penetapan tambang, Abang Johari berkata kos sebenar penerbangan akan dikira secara telus, merangkumi bahan api, operasi pesawat dan keperluan asas penerbangan.
“Kita kira kos penerbangan dari Kuching ke Kuala Lumpur. Asalkan kos itu mencukupi, cukuplah. Tidak boleh setiap kali musim perayaan harga jadi RM1,000 — Hari Raya, Tahun Baharu Cina atau Krismas. Bagaimana rakyat hendak pulang?” katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri berhasrat untuk menstabilkan harga tambang penerbangan dengan menetapkan kadar asas yang munasabah.
“Jika sebuah pesawat boleh membawa 90 penumpang, kita ambil kos penerbangan itu dan bahagikan kepada 90. Penumpang hanya perlu membayar kos bahan api dan kos operasi minimum,” katanya.
Mengulas kritikan pihak tertentu yang mendakwa AirBorneo mewujudkan persaingan tidak adil kerana ia disokong kerajaan, beliau menegaskan pendekatan tersebut berlandaskan kepentingan rakyat.
“Ada pihak menulis surat mengatakan kita akan gagal kerana bersaing, sebab ini syarikat kerajaan. Jadi apa? Keutamaan saya ialah rakyat didahulukan,” tegasnya.
Beliau turut menyentuh isu rawatan kesihatan, khususnya pesakit kanser di Sarawak yang terpaksa mendapatkan rawatan di Semenanjung Malaysia.
“Kita belum mempunyai hospital kanser yang lengkap. Pesakit terpaksa ke Kuala Lumpur. Bayangkan satu keluarga terpaksa pergi bersama, kos tambang penerbangan, penginapan dan sara hidup. Beban itu sangat besar,” katanya.
Menurut beliau, hasrat Sarawak untuk membina pusat rawatan kanser yang dikongsi bersama Sabah pada awalnya berdepan kekangan dana kerana kos pembinaannya melebihi RM1 bilion.
“Alhamdulillah, Perdana Menteri bersetuju supaya Sarawak menggunakan dana sendiri terlebih dahulu. Kita bina dahulu dan bayaran akan dibuat semula kemudian. Demi rakyat,” katanya.
Beliau berkata Sarawak juga bersedia mendahulukan bayaran peralatan perubatan bagi memastikan pusat rawatan berkenaan dapat direalisasikan.
“Ini adalah semangat Malaysia. Kita saling membantu. Demi kepentingan rakyat, kita sanggup mendahulukan bayaran,” katanya.
Abang Johari menegaskan keseluruhan pendekatan tersebut, termasuk penubuhan AirBorneo, mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan akses pengangkutan, kesejahteraan dan kebajikan rakyat sentiasa didahulukan berbanding keuntungan komersial.
Oleh Shahrul Qaizat