
KUALA LUMPUR: Beberapa minggu selepas disabitkan dengan kesalahan menyeleweng RM2.3 bilion membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kembali ke Mahkamah Tinggi untuk memberi keterangan dalam saman sivil RM42 juta difailkan SRC International Sdn Bhd dan anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd terhadap beliau.
Najib, 72, yang dinamakan sebagai defendan tunggal, berkata beliau tidak bersetuju dengan tindakan SRC terhadapnya dan mendakwa tuntutan itu adalah cacat kerana cuba memperibadikan keputusan institusi selain menggambarkan beliau secara salah mengawal urusan syarikat berkenaan.
“Berdasarkan Perlembagaan SRC dan Akta Syarikat, pengurusan syarikat terletak di bawah Lembaga Pengarah (BOD) dan para pegawainya. Sebarang kelulusan atau persetujuan yang berkaitan dengan jawatan awam saya adalah selepas proses BOD dan tidak menukar saya menjadi pengarah bayangan atau pengarah de facto.
“Plaintif (SRC) telah mentafsir secara salah bahawa Memorandum dan Artikel Persatuan SRC seolah-oleh memberikan saya kuasa mutlak ke atas syarikat itu sedang peruntukan itu sebenarnya hanya melibatkan persetujuan atau nasihat pemegang saham berkaitan hal-hal kepentingan negara dan tidak membenarkan saya mengeluarkan arahan yang mengikat kepada BOD,” menurut Najib dalam pernyataan saksi beliau semasa pemeriksaan utama oleh peguamnya, Muhammad Farhan Muhammad Shafee.
Najib berkata plaintif meminta mahkamah membuat inferens bahawa wujud hubungan sebagai pengarah bayangan namun beliau menegaskan bahawa tiada bukti menunjukkan corak BOD bertindak atas arahan beliau, sebaliknya rekod menunjukkan cadangan pihak pengurusan, perbincangan BOD dan kelulusan di peringkat pemegang saham melalui Kementerian Kewangan (Diperbadankan) atau MOF Inc, bukan arahan daripada beliau.
“Saman ini juga cuba menjadikan kewujudan beberapa minit mesyuarat MOF Inc sebagai bukti bahawa saya telah mengeluarkan arahan kepada SRC. Minit mesyuarat pemegang saham bukan arahan BOD kerana ia berada di luar saluran tadbir urus berasingan.
“Beberapa persoalan telah dibangkitkan mengenai keteraturan dan ketulenan dokumen terbabit. Dalam apa jua keadaan, walaupun minit mesyuarat pemegang saham adalah sah, ia tidak membebaskan pengarah daripada tanggungjawab untuk membuat pertimbangan secara bebas,” katanya.
SRC International sebelum ini telah mengeluarkan lima pengarahnya daripada saman itu termasuk Tan Sri Ismee Ismail, Datuk Suboh Md Yassin serta Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, dan mengekalkan Najib sebagai defendan tunggal.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi kemudian membenarkan Najib mengeluarkan notis pihak ketiga terhadap mereka.
Najib juga berkata beliau tidak pernah mengarahkan sesiapa untuk memindahkan wang SRC kepadanya dan menegaskan beliau tidak mempunyai pengetahuan pada masa itu bahawa RM42 juta terbabit adalah berasal daripada SRC.
“Saya tidak menggunakan Nik Faisal atau sesiapa sebagai perantara untuk memberi arahan kepada Ahli Lembaga SRC atau mengatur pemindahan RM42 juta ke akaun saya. Sekiranya ada pegawai yang menyatakan bahawa ini adalah arahan Perdana Menteri, ia tidak dibenarkan oleh saya dan bercanggah dengan tadbir urus korporat yang betul,” katanya.
Saman itu, yang difailkan pada 2021, membabitkan SRC dan Gandingan Mentari yang memohon deklarasi bahawa Najib bertanggungjawab terhadap mereka atas penerimaan RM42 juta serta menuntut ganti rugi bagi penerimaan dengan pengetahuan, bantuan tidak jujur, tort salah laku dalam jawatan dan penyalahgunaan kuasa.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan bersambung esok.- Bernama