Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • TEMPATAN
  • Sarawak giat persiapkan lapangan terbang antarabangsa baharu dan Pelabuhan Laut Dalam Tanjung Embang
  • TEMPATAN

Sarawak giat persiapkan lapangan terbang antarabangsa baharu dan Pelabuhan Laut Dalam Tanjung Embang

Utusan Sarawak 7 hours ago
DATUK Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berucap pada majlis Amanat Premier Sarawak 2026 bertemakan 9 Tahun Yang Gemilang di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini. Foto UKAS

KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang giat melaksanakan perancangan dan kerja persediaan bagi pembinaan lapangan terbang antarabangsa baharu serta Pelabuhan Laut Dalam di Tanjung Embang.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata projek berimpak tinggi itu dijangka memperkukuh keupayaan logistik negeri sekali gus meletakkan Sarawak sebagai pintu masuk serantau yang lebih berdaya saing.

Difahamkan, kawasan Tanjung Embang berdekatan Kampung Teluk Nipah and Kampung Sungai Jaong di sini, bakal dibangunkan dengan teknologi berbeza berbanding kaedah konvensional. 

Sebelum ini, Abang Johari berkata proses perancangan untuk pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching yang baharu akan mengambil masa kira-kira tiga tahun untuk disiapkan.

Konsep lapangan terbang itu pula akan menggunakan model Lapangan Terbang Antarabangsa Doha di Qatar.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada majlis Amanat Premier Sarawak 2026 bertemakan 9 Tahun Yang Gemilang di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, hari ini.

“Pelancaran AirBorneo dan perkhidmatan sulungnya ke Mukah pada awal tahun ini mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memperkukuh keterhubungan udara sebagai pemangkin pembangunan wilayah,” katanya.

Beliau menegaskan, keterhubungan udara bukan satu kemewahan, sebaliknya keperluan penting bagi Sarawak dalam menghubungkan komuniti pedalaman, menyokong perdagangan dan pelancongan, memudahkan akses kepada pendidikan serta perkhidmatan kesihatan, selain menarik pelaburan berkualiti.

SIMBOLIK… DATUK Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama tetamu kehormat yang lain melakukan simbolik pelancaran Buku Transformasi Hijau. Foto UKAS

Beliau berkata usaha berterusan kerajaan Sarawak memperkukuh institusi serta kedudukan kewangan negeri mula menampakkan hasil ketara apabila pelaksanaan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) memberi impak positif terhadap landskap ekonomi Sarawak.

Beliau berkata, pertumbuhan ekonomi negeri kini semakin pelbagai dan berdaya tahan, disokong pemodenan infrastruktur yang meningkatkan keterhubungan sekali gus merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar secara berperingkat.

Menurutnya, pelaburan strategik dalam pembinaan jaringan jalan raya, jambatan, sistem bekalan air serta peluasan rangkaian digital telah memperkukuh mobiliti, meningkatkan produktiviti dan memperluas akses rakyat kepada peluang ekonomi di seluruh Sarawak.

Mengulas aspek kelestarian, Abang Johari berkata pembangunan Sarawak turut memberi penekanan kepada ekonomi kitaran dan pengewangan sisa selaras dengan tiga teras utama PCDS 2030 iaitu kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.

DATUK Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama tetamu kehormat yang lain memotong pulut kuning. Foto UKAS

Katanya, sisa tidak lagi dilihat sebagai beban pengurusan semata-mata, sebaliknya berpotensi menjadi sumber nilai dan inovasi melalui pendekatan pemulihan, guna semula serta penciptaan nilai.

“Inisiatif penjanaan tenaga daripada sisa dan pemulihan bahan akan dilaksanakan secara tersusun serta berdaya maju dari segi komersial, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada tapak pelupusan dan meningkatkan kecekapan sumber,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa sektor pertanian akan memanfaatkan biojisim dan sisa organik bagi menyokong bioenergi, bio baja serta aktiviti hiliran, yang mampu menjana pendapatan tambahan kepada komuniti luar bandar di samping memperkukuh keselamatan makanan dan tenaga negeri.

Sementara itu, Abang Johari berkata Sarawak kini melangkah ke fasa kedua dan paling mencabar dalam pelaksanaan PCDS 2030 yang akan digerakkan menerusi Pelan Malaysia Ke-13 Sarawak (2026–2030).

Fasa berkenaan, katanya, menandakan peralihan daripada persediaan kepada prestasi, dengan tumpuan terhadap pelaksanaan, penyampaian serta pencapaian hasil yang boleh diukur dan dirasai secara langsung oleh rakyat Sarawak.

Oleh Norman B dan Shikin Mahmud

Tags: TEMPATAN

Continue Reading

Previous: Banjir: Satu PPS di Sarawak tutup, sembilan masih aktif
Next: Sarawak perkenal levi karbon ke atas sektor minyak, gas dan tenaga

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.