

BINTULU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak menerusi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tatau melaksanakan penghantaran barangan bantuan makanan kepada mangsa banjir yang terputus hubungan jalan di Rumah Rose Jalong, Nanga Buan hari ini.
Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, operasi penghantaran bantuan itu dilaksanakan pada 10.27 pagi sebagai sebahagian daripada misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) bagi membantu penduduk yang terjejas akibat banjir.
Dalam operasi tersebut, anggota bomba menghantar sebanyak 56 pek bantuan makanan dengan anggaran berat 280 kilogram serta 56 pek beras seberat 560 kilogram yang dibekalkan dari sebuah pasar raya di Tatau.
Bantuan berkenaan dibawa menggunakan lori bomba ke Jeti Pasar Lama Tatau sebelum diagihkan dan dimasukkan ke dalam bot-bot penduduk kampung untuk dibawa ke kawasan terjejas.
Pihak JBPM Sarawak akan terus komited melaksanakan khidmat kemanusiaan dan bantuan bencana bagi memastikan kebajikan mangsa banjir sentiasa terpelihara.
Oleh Carolyne Utih