


BINTULU: Sebanyak 52 kenderaan perdagangan dan persendirian telah diperiksa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Bintulu dalam Operasi Harian yang dilaksanakan di sekitar kawasan bandar ini semalam.
Operasi yang melibatkan aktiviti rondaan dan pemantauan penguatkuasaan itu dilaksanakan bagi memastikan tahap pematuhan terhadap perundangan jalan raya serta meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya.
Hasil pemeriksaan mendapati beberapa kesalahan telah dikesan melibatkan kenderaan yang diperiksa, termasuk membawa muatan secara berbahaya, menggunakan cukai jalan yang telah tamat tempoh serta pelanggaran syarat permit yang dikeluarkan oleh Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP).
Selain itu, pemeriksaan turut mengenal pasti kesalahan berkaitan aspek teknikal kenderaan yang boleh menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya.
Difahamkan, tindakan penguatkuasaan telah diambil terhadap pemandu dan pemilik kenderaan yang didapati melakukan kesalahan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Menurut JPJ Negeri Sarawak, aktiviti penguatkuasaan akan terus dilaksanakan secara berterusan dan bersepadu bagi memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi undang-undang demi menjamin keselamatan serta kesejahteraan orang awam.
Oleh Carolyne Utih