
SHAH ALAM: Jabatan Peguam Negara (AGC) menolak representasi dikemukakan seorang anggota polis untuk mengkaji semula pertuduhan membunuh lepasan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Nur Farah Kartini Abdullah ke atasnya, dua tahun lepas.
Timbalan Pendakwa Raya Maizatul Munirah Abdul Rahman memaklumkan perkara itu pada sebutan semula kes melibatkan Lans Koperal Muhammad Alif Monjani, 28, di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Adlin Abdul Majid.
“Oleh itu, kami memohon tarikh bicara dengan 20 saksi akan dipanggil dalam perbicaraan yang akan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kanan,” katanya.
Peguam Aida Jaafar Mad Ariff yang mewakili Muhammad Alif memaklumkan akan menghantar representasi kedua dalam masa terdekat bagi meneliti semula pertuduhan itu.
Mahkamah menetapkan perbicaraan berlangsung pada 16, 17,18,19, 23, 24, 25, 26 dan 30 November serta 1, 2, 3, 7 dan 8 Disember selain 7 April untuk pengurusan kes.
Menurut pertuduhan, Muhammad Alif didakwa membunuh Nur Farah Kartini, 26, di Ladang SKC, Kledang, Mukim Hulu Bernam antara 9.00 pagi 10 Julai hingga 6.00 petang 15 Julai 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara maksimum 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.
Nur Farah Kartini dilaporkan hilang pada 10 Julai 2024 selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan sebelum mayatnya ditemukan di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor. – Bernama