
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia memulakan dagangan Selasa dengan lebih mengukuh dan melepasi paras 1,700, seiring prestasi semalaman Wall Street susulan pemulihan minat risiko serantau serta penyertaan dana asing yang berterusan.
Pada 9.27 pagi, Indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 6.38 mata kepada 1,701.82 daripada paras 1,695.44 pada akhir dagangan semalam selepas dibuka menokok 5.30 mata pada 1,700.74.
Indeks petunjuk utama itu telah melepasi paras tertinggi 1,700.76 sebelum ini yang dicatatkan pada 3 Mac 2019.
Sentimen pasaran secara meluas adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 266 berbanding 240 manakala 352 kaunter tidak berubah, 1,780 tidak diniagakan dan 12 digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 491.64 juta saham bernilai RM309.56 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street ditutup lebih meningkat selepas peniaga memilih untuk mengabaikan siasatan jenayah terhadap Pengerusi Rizab Persekutuan AS (Fed) Jerome Powell oleh pentadbiran Presiden Donald Trump selain gesaannya agar kadar faedah kad kredit dihadkan kepada 10 peratus selama setahun.
Walaupun siasatan jenayah yang turut dikaitkan dengan projek pengubahsuaian ibu pejabat Fed akan memberi kesan terhadap kebebasan bank pusat itu, had 10 peratus kad kredit itu sebaliknya pasti memberi impak terhadap pendapatan bank pusat itu di masa akan datang.
Di peringkat tempatan, Thong berkata FBM KLCI mengekalkan prestasi cemerlang apabila indeks ditutup hanya kurang sedikit di bawah paras 1,700 yang boleh dikaitkan dengan kemasukan atau aliran dana asing yang menjadi pembeli bersih walaupun tidak konsisten.
“Kami percaya aliran masuk dana asing ini akan berterusan dan menjangkakan indeks diniagakan dalam julat 1,690 hingga 1,710 dalam dagangan hari ini,” katanya kepada Bernama.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank naik 12 sen kepada RM11.06, Public Bank meningkat empat sen kepada RM4.63, CIMB menambah enam sen kepada RM8.27, Tenaga Nasional melonjak 10 sen kepada RM13.70 namun IHH susut tiga sen kepada RM8.52.
Bagi saham paling aktif, MMAG menambah setengah sen kepada 6.5 sen, Semico meraih 22 sen kepada 47 sen, IJM menambah 12 sen kepada RM2.87 namun Ingenieur dan VS Industry masing-masing susut setengah sen kepada 3.5 sen dan 48.5 sen.
Kaunter untung tertinggi adalah RHB Bank yang menokok 13 sen kepada RM8.03, UMS Integration meraih 11 sen kepada RM3.97, Hong Leong Financial Group meningkat 10 sen kepada RM20.18 manakala Hume Cement dan SHL masing-masing meningkat enam sen kepada RM3.55 dan RM2.27.
Sebaliknya, kaunter yang mencatat kerugian ketara setakat ini adalah Malaysian Pacific yang susut 22 sen kepada RM32.76, Nestle turun 20 sen kepada RM119.80, Petronas Gas merosot 16 sen kepada RM18.26, Sunway berkurangan 15 sen kepada RM5.45 dan Sunway Construction menguncup 14 sen kepada RM6.03.
Di pasaran meluas, Indeks FBM Emas naik 38.44 mata kepada 12,569.21, Indeks FBM Top 100 menambah 41.36 mata kepada 12,360.95 manakala Indeks FBM Emas Shariah tidak berubah pada 12,316.87.
Indeks FBM Mid 70 melonjak 36.55 mata kepada 17,593.74 manakala Indeks FBM ACE sebaliknya susut 1.98 mata kepada 5,002.80.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 170.26 mata kepada 20,356.52, Indeks Tenaga turun 2.05 mata kepada 782.42, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.25 mata kepada 172.72 dan Indeks Perladangan menguncup 7.47 mata kepada 8,652.81.- Bernama