Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • Legacy 30: Magis suara tiga dekad biduanita negara Siti Nurhaliza
  • HIBURAN

Legacy 30: Magis suara tiga dekad biduanita negara Siti Nurhaliza

Utusan Sarawak 7 hours ago

KUALA LUMPUR: Tidak ramai penyanyi mampu bertahan dan terus dicintai selama tiga dekad tanpa pudar jiwa seninya, namun itulah kekuatan dan keistimewaan Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, Biduanita Negara yang masih menjadi pelukan emosi buat jutaan pendengar dan peminatnya.

Malam Sabtu menjadi saksi kemuncak perjalanan seni penyanyi tersohor ini apabila Legacy 30: Passion, Sincere & Love bukan sekadar konsert, sebaliknya bukti ketekalan, keanggunan dan kejujurannya berkarya tanpa pernah mengorbankan identiti seni yang membentuk legasinya sejak awal.

Menghimpunkan  65,000 peminat merentasi pelbagai lapisan usia dari dalam dan luar negara, malam bersejarah bertempat di Stadium Nasional Bukit Jalil itu menyingkap perjalanan seni anak kelahiran Temerloh, Pahang ini tentang keberaniannya mengejar mimpi sehingga menjadi inspirasi buat jutaan hati. 

Membuka tirai persembahan tepat pada 8.30 malam dengan menaiki kren setinggi dua tingkat, kelunakan gema suara penyanyi nombor satu negara ini segera menghangatkan pentas, diperkukuh visual dramatik mencengkam emosi sebelum disambut ledakan sorakan ribuan penonton dari setiap penjuru.

Tampil penuh elegan dengan gaun berona kelabu berkilauan, Siti Nurhaliza yang memilih lagu Purnama Merindu, Dialah Di Hati, Wajah Kekasih, Jerat Percintaan dan Percayalah sebagai pembuka tirai, berjaya mengembalikan nostalgia peminatnya ke era kegemilangan legenda hidup ini yang menjadi latar kepada kisah cinta, perpisahan dan  harapan ramai. 

Tanpa memutuskan momentum, suasana berubah apabila Siti Nurhaliza mengalihkan rentak kepada pop rock menerusi Satu Cinta Dua Jiwa dan Destinasi Cinta, mencetuskan lonjakan tenaga yang serta-merta menghidupkan seluruh stadium, sekali gus menyerlahkan kekuatan dan dinamik vokalnya merentas genre.

Tampil kemudiannya dengan busana dramatik berona merah jambu lembut sambil mengayakan off-the-shoulder detached rosette train, ibu kepada dua cahaya mata ini membuka ruang set kedua lebih teaterikal dengan medley hit Bicara Manis Menghiris Kalbu, Biarlah Rahsia, Demi Kasih Sayang ,Kau Kekasihku dan Jaga Dia Untukku, yang disusun lebih ekspresif dan penuh jiwa.

Istimewanya, segmen ini juga menjadi momen mempamerkan keupayaan vokal Siti Nurhaliza yang versatil khususnya dalam kebolehannya mengadunkan suara dengan penyanyi lain secara harmoni tanpa kehilangan identiti tersendiri yang menjadi simbol kekuatan legasinya sepanjang dalam industri. 

Menerusi duet pertamanya bersama-sama Umairah, anak saudaranya sendiri, ia menjadi detik simbolik apabila mereka berkongsi pentas tatkala mendendangkan lagu tradisional baharu Kaca dan Permata serta lagu malar segar Hati Kama, sekali gus menampilkan kesinambungan bakat merentas dua generasi.

Kolaborasi dengan Hafiz Suip pula meneruskan aliran emosi apabila Pandang-Pandang Jeling-Jeling dan Muara Hati disampaikan dalam keharmonian vokal yang kemas, mempertemukan dua penyanyi yang masing-masing pernah dinobatkan vokal terbaik di Anugerah Industri Muzik (AIM) dan Anugerah Juara Lagu (AJL).

Nuansa konsert kian berubah dengan kemunculan Noh Salleh yang membawa sentuhan alternatif menerusi Kau Mawarku dan Bagaikan Sakti sebelum disempurnakan melalui kolaborasi serantau bersama-sama penyanyi Indonesia Chakra Khan yang membawakan Seluruh Cinta dan Dirgahayu.

Kehangatan malam mega itu semakin terasa apabila Siti Nurhaliza sekali lagi tampil menggunakan kren mendendangkan seleksi lagu Cintamu, Aku Cinta Padamu, Bukan Cinta Biasa dan Bersandar Cinta selain menyampaikan lagu Bisikan Asmara, Engkau Bagaikan Permata dan Seindah Biasa serta medley hit Seribu Kemanisan, Kesilapanku Keegoaanmu dan Diari Hatimu.  

Sebahagian lagu ini dinyanyikan penyanyi yang turut mendapat gelaran Voice of Asia ini mengikut susunanan asal manakala selebihnya diberi nafas kontemporari, memperlihatkan kematangan dalam berkarya selain kemuncak konsert semakin mencengkam semasa set penutup berteraskan tradisional. 

Mengejutkan puluhan ribuan peminatnya apabila tampil melompat keluar dari bawah pentas yang dihidupkan bersama-sama penari kebudayaan Istana Budaya, Siti Nurhaliza membuka segmen akhir dengan lagu tradisional baharu daripada album Gema Bumantara iaitu Kesuma dan Rencong  dengan sentuhan moden, rentak rancak dan susunan muzik bertenaga.

Persembahan tidak dijangka itu mencetuskan gelombang sorakan gemuruh dari setiap penjuru stadium yang pernah menjadi lokasi persembahannya pada acara penutup Sukan Komanwel 1998, semakin meriah apabila Siti Nurhaliza mendendangkan karya ikoniknya Joget Menanti Kasih, Balqis, Mahligai Permata, Ya Maulai, Cindai dan Nirmala.

Bagaikan sebuah pesta budaya, seluruh stadium bangkit berdiri, menyanyi dan menari mengikut rentak dengan persembahan itu didedikasikan sebagai penghormatan kepada Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah, tokoh penting yang membentuk identiti muzik tradisional Siti Nurhaliza.

Sepanjang tiga jam persembahan yang digarap oleh Aubrey Suwito bersama-sama pasukan pemuzik handalan serta iringan Orkestra Simfoni Kebangsaan ini peminat juga dibawa menyusuri perjalanan seni Siti Nurhaliza menerusi tayangan montaj daripada langkah awalnya sebagai Juara Bintang HMI terbitan RTM pada  1995, kejayaan dan pengiktirafan yang dikecapinya sehinggalah diangkat sebagai Biduanita Negara.

Mungkin tiga jam belum memadai untuk merangkum seluruh perjalanan seni penyanyi nombor satu negara ini, namun Konsert Legacy 30 berdiri sebagai bukti teguh bahawa keabadian suara tidak lahir daripada bakat semata-mata sebaliknya dibina melalui imej, adab, profesionalisme, konsistensi serta keberanian untuk terus berevolusi.- Bernama

Continue Reading

Previous: One Battle After Another, Hamnet menang besar di Golden Globes
Next: Radja, Wali masih relevan, gegar pentas Idea Live Arena

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.