
BEVERLY HILLS: Filem One Battle After Anothermenguasai Anugerah Golden Globes kelmarin dengan memenangi filem komedi terbaik, manakala Hamnet mencipta kejutan apabila dinobatkan sebagai filem drama terbaik.
Filem thriller komedi arahan Paul Thomas Anderson, One Battle, yang memfokuskan seorang revolusioner berusia lanjut lakonan Leonardo DiCaprio, mendahului malam tersebut dengan memenangi empat daripada sembilan pencalonan.

Ia turut merangkul anugerah pengarah terbaik, skrip terbaik serta pelakon pembantu wanita terbaik menerusi lakonan Teyana Taylor.
“Kamu semua begitu pemurah dengan kasih sayang terhadap saya dan filem ini — dan saya amat menghargainya,” kata Anderson dengan penuh kegembiraan.
Filem tersebut sebuah naskhah sarat aksi yang menampilkan kumpulan radikal kiri yang ganas, serbuan imigresen dan pelampau kulit putih mendapat sambutan hangat penonton serta pengkritik, ketika Amerika Syarikat berdepan polarisasi politik yang mendalam.

Namun, dalam kategori pelakon lelaki utama yang menjadi tumpuan, DiCaprio terlepas kemenangan kepada Timothee Chalamet, yang melakonkan watak pemain pingpong bercita-cita tinggi era 1950-an dalam Marty Supreme.
“Saya berada dalam kategori bersama ramai tokoh hebat dan kategori ini sangat kompetitif. Saya memandang tinggi kepada kamu semua,” kata Chalamet, yang turut menewaskan George Clooney (Jay Kelly) dan Ethan Hawke (Blue Moon).
Chalamet berkata empat kekalahannya sebelum ini di Golden Globes “menjadikan detik ini lebih manis,” sebelum mengucapkan terima kasih kepada teman wanitanya, Kylie Jenner.
Kejutan ‘Hamnet’
Golden Globes menawarkan anugerah berasingan bagi kategori drama serta komedi/muzikal, sekali gus meluaskan senarai bintang yang hadir.

Anugerah terakhir malam itu menjadi kejutan terbesar. Hamnet, sebuah adaptasi sastera tragis yang membayangkan kehidupan William Shakespeare dan isterinya ketika mereka menghadapi kematian anak lelaki mereka, dinobatkan sebagai filem drama terbaik.
Filem Sinners, sebuah karya seram berunsur sejarah arahan Ryan Coogler mengisahkan Selatan Amerika yang terpisah pada era 1930-an, sebelum ini dijangka membawa pulang anugerah utama itu.
“Saya menyukai buku tersebut, tetapi saya merasakan hanya ada seorang pembikin filem di muka bumi ini yang mampu menceritakan kisah ini,” kata Steven Spielberg, penerbit filem berkenaan, sebelum menyerahkan mikrofon kepada pengarah Chloe Zhao.
Zhao, pengarah kelahiran China yang memenangi Oscar filem terbaik menerusi Nomadland, mendedikasikan anugerah itu kepada barisan pelakon dan kru Hamnet yang “kehilangan insan tersayang ketika kami menghasilkan filem ini.”
Beliau turut mengucapkan terima kasih secara khusus kepada Coogler, yang mengasah bakatnya bersama Zhao di filem Sundance yang diasaskan oleh mendiang Robert Redford.
Jessie Buckley, yang melakonkan watak isteri Shakespeare yang dilanda kesedihan, Agnes, memenangi pelakon wanita drama terbaik.
Sinners, yang mengejutkan penonton dengan gabungan elemen pontianak, politik, hubungan kaum dan muzik blues, terpaksa berpuas hati dengan skor muzik terbaik, serta anugerah Golden Globes yang baharu dan agak samar takrifnya, iaitu “pencapaian sinematik dan box office terbaik.”
Filem Sentimental Value, sebuah drama komedi keluarga dari Norway, memenangi pelakon pembantu lelaki terbaik menerusi Stellan Skarsgård.
Rose Byrne pula memenangi pelakon wanita komedi terbaik untuk If I Had Legs I’d Kick You. Filem muzikal mega-hit Netflix KPop Demon Hunters merangkul lagu terbaik dan filem animasi terbaik.
Golden Globes turut mengiktiraf pencapaian dalam dunia televisyen. Drama remaja bertemakan pembunuhan yang menyayat hati, Adolescence,”mendominasi kategori tersebut dengan empat kemenangan, manakala The Pitt memenangi drama terbaik dan The Studio meraih komedi terbaik. – AFP