
SEBAUH: Kejadian banjir luar biasa yang melanda kawasan Ulu Sebauh ketika ini menuntut perancangan jangka panjang dan penambahbaikan prosedur operasi standard (SOP) pengurusan bencana bagi mengurangkan risiko pada masa hadapan.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, perubahan corak banjir yang berlaku ketika ini menunjukkan kawasan hulu sungai lebih terjejas berbanding kawasan bandar.
Menurut beliau, kejadian banjir besar yang hampir setiap tahun berlaku sekitar bulan Januari membuktikan keperluan persediaan awal yang lebih tersusun dan bersepadu.
“Situasi ini dijangka berulang dan kita perlu melihat semula SOP sedia ada supaya tindakan dapat diambil lebih awal dan lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau keadaan di Rumah Raymond Plen di Sungai Gelam, Ulu Sebauh, yang terjejas akibat banjir, hari ini.

Beliau yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena berkata, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) perlu memainkan peranan penting sebagai titik fokus di kawasan masing-masing bagi memudahkan penyampaian maklumat dan penyelarasan bantuan bersama pihak berkuasa.
Katanya, aspek penempatan juga perlu diberi perhatian, termasuk nasihat kepada penduduk yang bercadang membina rumah baharu supaya menilai tahap keselamatan kawasan berkenaan daripada risiko banjir.
Dalam pada itu, beliau menggesa semua pihak agar tidak menyalahkan mana-mana pihak atau menyebarkan spekulasi, sebaliknya menumpukan usaha membantu mangsa banjir.
Oleh Carolyne Utih