
SEBAUH: Penduduk di kawasan Ulu Sebauh diminta supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa susulan kejadian banjir luar biasa yang melanda kawasan berkenaan sejak beberapa hari lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena, Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, situasi banjir kali ini merupakan antara yang terburuk pernah direkodkan, khususnya di Sungai Gelam apabila paras air meningkat sehingga memasuki rumah penduduk.
Menurut beliau, walaupun paras air menunjukkan sedikit penurunan sekitar dua hingga tiga inci di beberapa kawasan, keadaan dijangka berubah apabila air pasang dan sekiranya hujan berterusan.
“Keadaan cuaca yang masih tidak menentu boleh menyebabkan paras air kembali meningkat, justeru penduduk dinasihatkan supaya tidak mengambil risiko,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan ke Rumah Raymond Plen di Sungai Gelam, Ulu Sebauh di sini, hari ini.
Menurutnya, banyak kampung dan rumah panjang kini tidak lagi dapat diakses akibat jalan terputus, sekali gus menyukarkan pergerakan penduduk serta operasi penyampaian bantuan.
Dr Rundi memberitahu, pemindahan mangsa sedang dilaksanakan secara berperingkat dengan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Balai Raya Sebauh dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sebauh kini menempatkan ratusan mangsa dan hampir penuh.
“Penduduk dinasihatkan supaya segera berpindah apabila diarahkan kerana terdapat risiko bahaya seperti bekalan elektrik dan penggunaan bahan api ketika banjir,” katanya.
“Beliau turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa mendapatkan maklumat daripada saluran rasmi serta tidak menyebarkan spekulasi yang boleh mengeruhkan keadaan.
Oleh Carolyne Utih