
KUCHING: Situasi banjir di Sarawak menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang masih beroperasi berkurangan kepada 14 PPS setakat 4.00 petang ini, berbanding hari sebelumnya.
Menurut laporan terkini Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sarawak, jumlah keseluruhan mangsa yang terjejas turut mencatatkan trend penurunan walaupun masih terdapat beberapa lokasi tertentu yang merekodkan peningkatan pemindahan.
Setakat ini, seramai 1,822 mangsa daripada 587 Ketua Isi Rumah (KIR) masih ditempatkan di PPS aktif di seluruh negeri, dengan trend pemindahan keseluruhan dilaporkan menurun.

Di Bahagian Serian dan Siburan, keadaan banjir menunjukkan pemulihan yang ketara apabila sebanyak 10 PPS ditutup secara berperingkat antara 12.00 tengah hari hingga 3.00 petang, termasuk PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tanah Merah dan Dewan Baru Kampung Rimba Padi.
Bagaimanapun, PPS SK Tanah Putih mencatatkan peningkatan mangsa kepada 448 orang daripada 131 KIR, manakala PPS Dewan Masyarakat Serian kekal dengan 325 mangsa dan Stadium Tertutup Bola Keranjang Serian menempatkan 93 mangsa.
Di Bahagian Bintulu, seramai 306 mangsa masih berlindung di PPS Dewan Suarah Bintulu, manakala di daerah Sebauh, jumlah mangsa di PPS Dewan Sri Kemena, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sebauh menunjukkan peningkatan kepada 159 orang.

Sementara itu, situasi di Bahagian Sibu dan Miri dilaporkan terkawal dengan trend mangsa yang stabil serta menurun. Di Miri, PPS Dewan Pusat Komuniti Tudan Fasa 4 hanya menempatkan 29 mangsa, menunjukkan keadaan semakin pulih.
Selain banjir, pihak berkuasa turut mengesahkan satu kejadian tanah runtuh baharu dikesan di Awah Gawai Nrangan Biriyak, Kampung Krusen Kranji dalam Bahagian Serian, dan pemantauan rapi sedang dijalankan bagi memastikan keselamatan penduduk setempat.
APM bersama agensi penyelamat lain terus menasihatkan penduduk di kawasan berisiko tinggi agar sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa serta berpindah segera sekiranya keadaan cuaca dan paras air kembali memburuk.
Oleh Adi Safarman