
SIBU: Kerajaan Sarawak mengiktiraf industri pembinaan dan pembaikan kapal sebagai sektor strategik yang berupaya menjana peluang pekerjaan, memperkasa kemahiran tenaga kerja tempatan serta memperkukuh ekosistem ekonomi berasaskan sungai di negeri ini.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang berkata kerajaan kekal komited menyokong penggiat industri tempatan menerusi dasar mesra pertumbuhan, pembangunan infrastruktur dan usaha menjadikan Sarawak sebagai hab kecemerlangan maritim.

Menurut beliau, kewujudan industri perkapalan di Sibu membuktikan bandar itu bukan sekadar bandar sungai, sebaliknya sebuah pelabuhan yang mempunyai aspirasi besar dalam pembangunan sektor maritim.
“Kapal tunda seperti SML 105 bukan hanya struktur besi dan jentera, tetapi melambangkan kepakaran anak Sarawak, hasil buatan tempatan serta keupayaan industri kita untuk bersaing di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Kapal Tunda SML 103 dan Pelancaran Kapal Tunda SML 105 di Tuong Aik Shipyard Sdn Bhd, di sini, hari ini.
Tiang menyifatkan majlis berkenaan sebagai satu detik bermakna kerana bukan sahaja melibatkan pelancaran kapal baharu, malah penyerahan kapal kepada rakan strategik dari Indonesia, sekali gus mencerminkan keyakinan serta kerjasama rentas sempadan dalam industri maritim.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk jurukimpal, jurutera, perancang dan pasukan logistik yang menjadi tulang belakang kepada pembangunan ekonomi maritim Sarawak.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Operasi PT Transcoal Pacific Tbk, Denry Lelo, berkata penyerahan Tug Boat SML 103 dan pelancaran Tug Boat SML 105 merupakan satu pencapaian penting bagi syarikat itu serta anak-anak syarikat di bawah Kumpulan Trans Energi Logistik.
Menurutnya, kedua-dua kapal tunda berkenaan merupakan sebahagian daripada fasa pertama pelan pembinaan keseluruhan 21 kapal tunda.
“Sebanyak 19 lagi kapal tunda dijadualkan siap secara berperingkat dalam tempoh beberapa tahun akan datang,” katanya.
Oleh Tarani Lanting