
KUCHING: Kementerian Kewangan digesa supaya segera mengkaji semula pelaksanaan Notis Bayaran Ansuran (CP500) dan menghadkan skopnya khusus kepada perniagaan sepenuh masa, bukannya dikenakan ke atas pekerja bergaji yang telah tertakluk kepada Potongan Cukai Bulanan (PCB) di bawah sistem Potongan Cukai Berjadual (PAYE).
Menurut Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Stakan, Dato Sim Kiang Chiok, pekerja bergaji telah membayar cukai pendapatan setiap bulan melalui PCB, jauh lebih awal sebelum pemfailan cukai tahunan dibuat.
Namun, katanya, apabila CP500 turut dikenakan ke atas individu sama hanya kerana mempunyai pendapatan sewaan atau aktiviti perniagaan kecil, ia mengakibatkan kutipan awal berganda dalam tahun kewangan yang sama.
Beliau menyifatkan situasi berkenaan sebagai tidak adil dan tidak mencerminkan realiti aliran tunai sebenar yang dihadapi oleh golongan pekerja bergaji, khususnya dalam kalangan berpendapatan sederhana.
Dato Sim menjelaskan bahawa CP500 mewajibkan bayaran cukai pendahuluan walaupun pendapatan perniagaan atau sewaan adalah tidak tetap, bermusim atau langsung tiada pada bulan-bulan tertentu.
Lebih membebankan, bayaran ansuran masih perlu dibuat walaupun perniagaan mengalami kerugian atau hartanah sewaan tidak berpenghuni, sekali gus menekan aliran tunai individu yang menjalankan perniagaan sampingan bagi menampung kos sara hidup.
Menurut beliau, keadaan itu berpotensi melemahkan semangat keusahawanan dan pelaburan kerana memberi isyarat negatif seolah-olah rakyat perlu mengelak daripada melabur atau memulakan perniagaan kecil kerana tetap dikenakan cukai pendahuluan tanpa mengambil kira prestasi sebenar.
Dalam jangka panjang, beliau bimbang pendekatan sedemikian dikhuatiri menjejaskan agenda nasional untuk menggalakkan pelaburan swasta, keusahawanan serta pembentukan kekayaan dalam kalangan rakyat.
Sehubungan itu, beliau menegaskan cukai ke atas pendapatan bukan penggajian bagi pekerja bergaji wajar dinilai dan dibayar pada akhir tahun kewangan berdasarkan keuntungan sebenar, bukannya unjuran pendapatan.
Katanya, skim CP500 seharusnya dihadkan kepada perniagaan sepenuh masa yang mempunyai aliran pendapatan berterusan dan boleh dijangka, serta tidak tertakluk kepada PCB.
Beliau turut menegaskan sistem percukaian yang adil, praktikal dan pro-pertumbuhan perlu mengambil kira realiti aliran tunai pembayar cukai.
“Menekan pekerja bergaji yang melabur atau berniaga hanya akan menjadikan Malaysia kurang menarik sebagai destinasi pelaburan dan perusahaan. Kami menggesa Kementerian Kewangan bertindak tegas demi keadilan, pertumbuhan ekonomi dan keyakinan pembayar cukai,” katanya.