
LAWAS: Buah durian, anak pokok moringa, anak pokok mangga dan cili besar antara barangan yang dirampas oleh Jabatan Pertanian Sarawak dan Sabah di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Merapok, Lawas, awal bulan ini.
ICQS Merapok dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa rampasan tersebut dibuat kerana barangan berkenaan dipercayai dibawa masuk tanpa mematuhi peraturan kuarantin tumbuhan yang ditetapkan di bawah undang-undang dan peraturan sedia ada.

Menurut kenyataan itu, rampasan dibuat di bawah Peraturan dan Dasar Kawalan Pergerakan Tumbuhan, iaitu pergerakan pokok, bahan tanaman dan hasil pertanian tertentu tidak dibenarkan memasuki Sarawak dan Sabah tanpa permit import serta sijil fitosanitari.
Perkara ini tertakluk di bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta 167) dan Peraturan Kuarantin Tumbuhan 1981, serta kuasa pentadbiran Jabatan Pertanian Sarawak dan Sabah di negeri masing-masing.
“Peraturan ini melarang kemasukan buah segar dan bahan tanaman hidup tanpa pemeriksaan dan dokumen sah, termasuk pergerakan antara negeri. Kawalan ini bukan sahaja tertumpu kepada perdagangan besar, malah juga individu yang membawa bahan tanaman secara pos atau melalui pintu sempadan tanpa pengisytiharan.

“Penguatkuasaan dilaksanakan bersama pelbagai agensi bagi meningkatkan tahap kawalan,” menurut kenyataan itu hari ini.
Jabatan Pertanian Sarawak dan Sabah turut menjalinkan kerjasama dengan agensi lain seperti Jabatan Sukarelawan (RELA) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) sebagai satu ikatan kerjasama yang kukuh di ICQS Merapok.
Penguatkuasaan akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan semua undang-undang dan peraturan oleh agensi terlibat di ICQS Merapok dikuatkuasakan terhadap mana-mana pihak yang melakukan kesalahan.
Oleh Adeng Edrus