BERLIN: Syarikat penerbangan terbesar Jerman, Lufthansa, pada Isnin mengumumkan langkah penjimatan kos lebih menyeluruh berikutan krisis Covid-19, lapor agensi berita Xinhua.
Menurut syarikat itu ia akan melaksanakan “pengurangan kapasiti secara kekal” sebanyak 150 pesawat pada pertengahan dekad ini.
Selepas enam pesawat Airbus A380, pesawat penumpang terbesar di dunia, tidak beroperasi pada musim bunga, Lufthansa mengumumkan pemindahan baki lapan A380 dan sepuluh A340-600 ke penyimpanan jangka panjang. Pesawat hanya akan diaktifkan semula “jika pasaran pulih dengan pantas.”
Ini akan mengakibatkan penurunan nilai EUR1.1 bilion (AS$1.29 bilion) pada suku ketiga, menurut Lufthansa.
Namun, syarikat penerbangan itu belum menentukan lagi berapa jumlah kakitangan yang akan dikurangkan kesan daripada langkah itu.
Lufthansa menjangkakan 20 hingga 30 peratus kapasiti penerbangan berbanding sebelum krisis, jika trend semasa berterusan. Syarikat itu pada awalnya merancang kapasiti adalah pada kadar 50 peratus berbanding tahun sebelumnya akan dicapai pada suku keempat.
“Prospek lalu lintas udara antarabangsa meningkat dengan ketara dalam beberapa minggu kebelakangan ini. Dengan perjalanan musim panas berakhir, jumlah penumpang dan tempahan menurun lagi, selepas menunjukkan sedikit pemulihan pada Julai dan Ogos,” kata Lufthansa.
Sebelum ini pada Julai syarikat itu berkata, berikutan persetujuan pemegang saham untuk pakej bantuan kerajaan bernilai EUR9 bilion pada akhir Jun, kewangan Lufthansa masih selamat. – Bernama