
KUCHING: Sebanyak 48 sekolah rendah Cina di seluruh Sarawak melibatkan 369 bilik darjah akan menerima kemudahan Bilik Darjah Pintar menerusi pelaksanaan fasa pertama program berkenaan dengan peruntukan RM5 juta daripada kerajaan Sarawak.
Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah-Sekolah Rendah Chung Hua Kuching No.1 hingga No.6, Jonathan Chai Voon Tok, berkata, pelaksanaan program itu melibatkan sekolah-sekolah rendah Cina di seluruh negeri dan bertujuan memperkukuh kaedah pengajaran dan pembelajaran melalui penggunaan teknologi, sekali gus meningkatkan kualiti pendidikan selaras dengan keperluan semasa.
Katanya, program berkenaan merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan kerajaan Sarawak dalam memajukan sektor pendidikan, khususnya pendidikan Cina, selain melengkapkan usaha menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih interaktif dan berkesan untuk murid.
“inisiatif itu akan diteruskan sehingga semua sekolah dapat menikmati manfaat pendidikan berasaskan teknologi moden.
“Melalui integrasi teknologi dalam bilik darjah, guru dapat meningkatkan kualiti pengajaran manakala murid pula lebih berminat dan terlibat secara aktif dalam proses pembelajaran,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Program Bas Sekolah Percuma dan Program Bilik Darjah Pintar di SJK Chung Hua No. 6, di sini, hari ini.
Mengulas berkenaan Program Bas Sekolah Percuma, Jonathan berkata inisiatif itu bukan sahaja memberi kemudahan dan kelegaan kepada ibubapa, malah membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan sekolah serta persekitarannya.
Katanya, program berkenaan merupakan satu pendekatan praktikal kerajaan Sarawak dalam menangani isu keselamatan dan kebajikan murid, khususnya mereka yang berulang-alik ke sekolah setiap hari.
Beliau berkata, pelaksanaan program itu juga mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap kos sara hidup keluarga, di samping memastikan akses pendidikan yang lebih selamat dan teratur kepada murid.
Dalam ucapannya, Jonathan turut menyentuh sokongan jangka panjang kerajaan Sarawak terhadap pendidikan Cina, termasuk peruntukan tahunan kepada 14 sekolah menengah persendirian Cina di seluruh negeri sejak 2014 yang meningkat daripada RM3 juta kepada RM10 juta pada masa ini.
Selain itu, katanya, sejak 2020 kerajaan Sarawak melalui Jawatankuasa Perundingan Sekolah Cina Sarawak telah menyediakan peruntukan tahunan bagi membantu sekolah rendah Cina bantuan kerajaan yang memerlukan penempatan semula atau pengembangan, dengan jumlah peruntukan meningkat kepada RM12 juta setahun bermula 2022.
Beliau turut menyifatkan pelbagai inisiatif pendidikan yang diperkenalkan kerajaan Sarawak – merangkumi simpanan bayi baharu lahir, bilik darjah pintar, bas sekolah percuma, komputer riba percuma, pendidikan tinggi percuma serta elaun sara hidup kepada pelajar kurang berkemampuan – sebagai satu sistem sokongan pendidikan yang menyeluruh dan belum pernah dilaksanakan sebelum ini.
Menurutnya, sokongan menyeluruh itu memberi manfaat kepada anak-anak Sarawak di setiap peringkat pendidikan dan membuktikan kesungguhan kerajaan negeri dalam melabur untuk masa depan generasi akan datang.
Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan turut dihadiri Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pending See Chee How serta wakil-wakil agensi kerajaan dan komuniti setempat.
Oleh Shahrul Qaizat