
KUCHING: Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata polis menahan dua lelaki tempatan dan merampas dadah disyaki bernilai RM685 dalam satu operasi di Jalan Song di sini Jumaat lalu.
Beliau berkata kedua dua suspek berusia 31 dan 44 tahun itu ditahan sekitar 1.15 petang oleh sepasukan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching.
“Hasil pemeriksaan menemui 12 paket plastik lutsinar mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis methamphetamine dengan berat keseluruhan 6.23 gram,” katanya.
Alexson berkata ujian saringan awal air kencing mendapati kedua dua suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek pertama mempunyai satu rekod jenayah, manakala suspek kedua mempunyai 17 rekod jenayah lampau.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39A subseksyen 1 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi lima tahun serta sebatan tidak kurang tiga dan tidak melebihi sembilan sebatan jika disabitkan kesalahan.
Kedua-dua suspek kini direman selama empat hari bermula 12 hingga 15 Januari 2026 bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.
Menurut beliau, kejayaan tangkapan tersebut adalah hasil risikan berterusan serta kerjasama orang awam.
“Polis Diraja Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana mana pihak yang terlibat dalam pengedaran dadah. Memiliki, mengedar atau melindungi aktiviti dadah merupakan kesalahan serius di sisi undang undang,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik komited memerangi dadah demi melindungi generasi masa kini dan akan datang, dan orang ramai boleh menyalurkan maklumat melalui talian hotline JSJN di 012 208 7222 atau hotline JSJN IPK Sarawak di 017 592 9211.
Oleh Connie Chieng