
ENGKILILI: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki warga emas, Chin Shin Fah, 60, yang dilaporkan hilang di kawasan Rumah Baie Merio Tambak, ditamatkan secara rasmi pada 5.00 petang tadi hasil perbincangan bersama pihak keluarga mangsa dan pasukan SAR.
Menurut kenyataan media Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak, keputusan menamatkan operasi dibuat selepas pencarian intensif selama tujuh hari tidak menemukan sebarang petunjuk baharu berkaitan keberadaan mangsa.
Bagaimanapun, operasi SAR boleh disambung semula pada bila-bila masa sekiranya terdapat bukti atau maklumat baharu yang boleh membantu usaha pencarian mangsa.
Mangsa, Chin Shin Fah, dilaporkan hilang selepas dipercayai keluar dari ruai rumah panjang berkenaan sekitar 11.30 malam pada 3 Januari lalu ketika menghadiri upacara sembahyang bersama ahli keluarga.

Pencarian awal oleh keluarga dan penduduk rumah panjang gagal menemui mangsa sebelum laporan polis dibuat pada 4 Januari lalu.
Sepanjang hari ketujuh operasi semalam, pasukan SAR menjalankan pencarian di sekitar Sungai Merio dengan menyusuri kawasan hilir sungai menggunakan teknik ‘lookout’ meliputi radius kira-kira dua kilometer persegi, selain pelaksanaan upacara miring di lokasi berhampiran sungai.
Operasi SAR diketuai Komander Operasi, Pegawai Penguasa Bomba (PPgB) Andrew Vengitasamy, melibatkan 11 anggota dengan sokongan dua buah jentera, iaitu sebuah Van Urvan dan sebuah pacuan empat roda.
Turut terlibat dalam operasi bersepadu tersebut ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) Lubok Antu, penduduk kampung serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Engkilili.
JBPM Sarawak memaklumkan, meskipun operasi SAR ditamatkan buat masa ini, pihaknya bersama agensi terlibat akan terus bersedia untuk menggerakkan semula operasi sekiranya terdapat maklumat atau petunjuk baharu berkaitan mangsa pada masa akan datang.
Oleh Adi Safarman