

KRIAN: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Saratok bertindak pantas menangani kejadian tanah susur di bahagian tepi jambatan yang melibatkan jalan utama ke rumah panjang di Rumah Patricia Sungai Bangkong Kabo, di sini, pagi tadi.
Pegawai APM Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu berkata, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) APM Saratok menerima satu panggilan kecemasan daripada orang awam pada 10.14 pagi memaklumkan kejadian berkenaan.
Menurutnya, sepasukan dua anggota telah digerakkan ke lokasi pada 10.20 pagi dan tiba sekitar 11.00 pagi selepas menempuh perjalanan sejauh 30 kilometer.
“Sebaik tiba di lokasi, anggota mendapati benar berlaku tanah susur di bahagian tepi jambatan yang digunakan sebagai laluan utama penduduk rumah panjang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, sebelum operasi dijalankan, ketua skuad memastikan semua anggota memakai peralatan perlindungan diri (PPE) bagi menjamin keselamatan semasa bertugas.
Tambahnya, pihak APM turut memasang pita amaran di kawasan terjejas bagi mengelakkan penduduk mendekati lokasi berbahaya serta memaklumkan kejadian tersebut kepada Majlis Daerah Saratok untuk tindakan lanjut.
“Buat masa ini, jambatan berkenaan hanya boleh dilalui oleh kenderaan ringan sahaja sebagai langkah keselamatan,” jelasnya.
Operasi yang melibatkan dua anggota iaitu PBT Holleyness Alek dan PBT Izzuddin Hakim Ahmad Sufian itu tamat sepenuhnya pada 11.10 pagi.
Menurut Nur Athirah, sepanjang operasi dijalankan, keadaan di lokasi adalah selamat dan terkawal tanpa sebarang kejadian tidak diingini.
Oleh Adi Safarman