KUALA LUMPUR: Usahawan Sarawak disaran agar lebih proaktif membabitkan diri di dalam program-program untuk mempromosikan produk mereka ke pasaran yang lebih luas.
Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana merangkap Menteri Muda e-Dagang Sarawak, Datuk Mohd Naroden Majais berkata, program-program sedemikian akan membuka lebih banyak peluang peniagaan di Malaysia malah ke luar negara.
“Kita pada mulanya hanya menjangka penjualan mereka akan mencecah RM80,000 namun pencapaian terkini mereka amatlah memberansangkan,” tambahnya lagi.
Menurut Naroden, program mampu mengetengahkan barangan negeri Sarawak ke pasaran yang lebih besar di Semenanjung yang mana dalam tempoh tiga hari pertama program tersebut, sebanyak RM160,000 telah diperolehi dari 29 peserta dari Sarawak.
Beliau ditemui pemberita di sebuah hotel di Nilai, Negeri Sembilan sebelum Pelancaran Karnival Bumi Kenyalang (KBK) yang dibakal dirasmikan oleh Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi di AEON Mall Nilai.
Jelasnya, program sedemikian diadakan buat julung kalinya di Negeri Sembilan di mana sebelum diadakan di Johor, Kuala Lumpur dan Singapura.
Beliau mengajak rakan-rakan, khususnya yang berdekatan dengan Nilai, Negeri Sembilan agar mengunjungi AEON Mall Nilai bagi mencuba dan mengenali barangan serta produk dari Sarawak.
Pada masa sama, Naroden menyaran agar usahawan memanfaatkan internet untuk aktiviti perniagaan bagi memudah segala urus niaga serta mempromosikan produk mereka dengan cara lebih mudah dan lebih luas.
“Kita di Sarawak amat bersyukur kerana Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Kerajaan Sarawak telah memperkenalkan Digital Ekonomi ke Sarawak sejak dua tahun lepas,” tambah Naroden lagi.
KBK adalah Inisiatif AEON bagi memartabatkan barangan buatan Malaysia yang bertujuan sebagai inisiatif untuk menjana pendapatan bagi peniaga Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
KBK adalah program anjuran bersama AEON Retail Malaysia, KPDNHEP, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan, Sarawak (MINTRED) dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) yang berlangsung dari 14 hingga 30 September 2020.