Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • GLOBAL
  • ‘American? No!’ — Greenland yang kaya mineral nadir bumi, potensi minyak dan gas, tolak ugutan Trump
  • GLOBAL

‘American? No!’ — Greenland yang kaya mineral nadir bumi, potensi minyak dan gas, tolak ugutan Trump

Utusan Sarawak 18 hours ago

Bangunan yang dilitupi salji di Nuuk, Greenland, pada 7 Mac 2025. Foto Fail AFP

NUUK (Greenland): Parti-parti politik Greenland menegaskan mereka tidak mahu berada di bawah Amerika Syarikat selepas Presiden AS Donald Trump sekali lagi mencetuskan kebimbangan dunia apabila membayangkan tindakan ketenteraan untuk menguasai wilayah autonomi Denmark itu.

Dalam kenyataan bersama lewat Jumaat, pemimpin lima parti Parlimen Greenland menolak sebarang campur tangan luar. Mereka menegaskan masa depan pulau kaya mineral itu hanya boleh ditentukan oleh rakyat Greenland sendiri.

“Kami tidak mahu jadi orang Amerika, kami juga tidak mahu jadi orang Denmark. Kami mahu jadi orang Greenland,” kata kenyataan itu.

Trump sebelum ini menyatakan Washington “akan melakukan sesuatu terhadap Greenland, sama ada mereka suka atau tidak”, sekali gus mencetuskan kebimbangan di Eropah. 

Donald Trump

Rumah Putih turut mengesahkan Trump mahu membeli Greenland dan tidak menolak pilihan ketenteraan.

Eropah bimbang

Beberapa ibu negara Eropah kini giat menyelaras tindak balas. Menteri Luar Perancis, Jean-Noel Barrot, menyifatkan ugutan Trump sebagai ‘pemerasan yang mesti dihentikan’, namun tidak percaya pencerobohan AS akan berlaku.

“Greenland ialah wilayah Eropah di bawah perlindungan NATO. Eropah mempunyai keupayaan kuat mempertahankan kepentingannya,” katanya.

Tak mahu dijajah lagi

Tinjauan agensi Denmark, Ritzau, menunjukkan lebih 38 peratus rakyat Denmark percaya AS mungkin melancarkan pencerobohan ke atas Greenland di bawah pentadbiran Trump.

Greenland, yang menjadi koloni Denmark hingga 1953 dan mendapat pemerintahan sendiri pada 1979, masih berhati-hati soal kemerdekaan penuh.

Seorang nelayan, Julius Nielsen, 48, berkata: “Kami pernah dijajah terlalu lama. Kami tak bersedia dijajah lagi.”

Seorang pekerja telekomunikasi, Pitsi Mari pula menyokong kemerdekaan tetapi menegaskan ‘bukan sekarang’.

Politik dalaman

Kerajaan campuran sedia ada menolak kemerdekaan tergesa-gesa. Namun parti pembangkang Naleraq yang meraih 24.5 peratus undi pada pilihan raya 2025, mahu pemutusan hubungan dengan Denmark dipercepat — walaupun turut menandatangani kenyataan bersama menolak campur tangan AS.

Pulau strategik

Greenland penting dari sudut strategik di Artik, dengan AS memiliki pangkalan tentera di sana sejak Perang Dunia Kedua. Trump mendakwa penguasaan pulau itu penting bagi keselamatan AS susulan peningkatan aktiviti Rusia dan China di rantau berkenaan.

Selain kedudukan strategik, Greenland turut menarik perhatian kerana sumber semula jadi besar, termasuk mineral nadir bumi serta potensi minyak dan gas.

Bongkah ais terapung di perairan Nuuk, Greenland, pada 7 Mac 2025. Foto AFP

Perdana Menteri Denmark, Mette Frederiksen, memberi amaran bahawa pencerobohan ke atas Greenland akan ‘menamatkan segala-galanya’, merujuk kepada pakatan pertahanan NATO dan struktur keselamatan pasca Perang Dunia Kedua.

Diplomasi dipercepat

Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, dijadual bertemu menteri luar Denmark dan wakil Greenland minggu depan ketika Eropah cuba meredakan krisis tanpa mengundang kemarahan Trump, yang kini hampir setahun kembali berkuasa.

Trump pernah cuba membeli Greenland pada 2019, namun ditolak. – AFP

Continue Reading

Previous: Gempa bumi 7.1 skala Richter gegarkan Sulawesi Utara, tiada amaran tsunami
Next: Filipina rekod 256 guguran batu susulan aktiviti lava di Gunung Berapi Mayon

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.