
SIMANGGANG: Operasi penghantaran bekalan makanan kepada mangsa banjir telah berjaya dilaksanakan hari ini bermula 9.30 pagi hingga 4.45 petang dengan menggunakan lori.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sri Aman, Leftenan Kamal Bujang berkata, operasi tersebut melibatkan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) dengan kerjasama Pejabat Daerah Pantu serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Menurut beliau, pergerakan operasi bermula dengan pengambilan bekalan makanan di Pasar Raya Aldi sebelum anggota meneruskan perjalanan ke Pejabat Daerah Pantu bagi menghadiri taklimat ringkas yang disampaikan oleh Pembantu Pegawai Daerah Pantu.
Tambahnya, selepas selesai taklimat, pasukan operasi meneruskan penghantaran bekalan makanan ke beberapa lokasi yang terjejas akibat banjir di kawasan berkenaan.

“Antara lokasi terlibat ialah Jaong Sungai Batu di Rumah Tinjan Sayang, Sebemban Ibol di Rumah Larry Tukang serta kawasan Mungu Ubah,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa penghantaran bekalan ini bertujuan memastikan keperluan asas mangsa banjir dapat disalurkan dengan segera dan berkesan.
Katanya lagi, kerjasama erat antara semua agensi terlibat telah membantu melancarkan pergerakan serta pengagihan bantuan ke kawasan sasaran.
Keseluruhan operasi, jelasnya, berjalan dengan lancar, teratur dan selamat sebelum anggota kembali ke Pusat Kawalan Operasi Bencana Daerah (PKOD) Sri Aman setelah operasi selesai sepenuhnya.
Oleh Adi Safarman