
KUCHING: Cadangan Senator Abun Sui Anyit untuk melanjutkan had penggal persekutuan kepada Premier Sarawak dan pemimpin negeri lain wajar dinilai secara berhati-hati serta seimbang, kata Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Stakan, Dato Sim Kiang Chiok.
Menurut beliau, meskipun pembaharuan kepimpinan merupakan elemen penting dalam demokrasi, kedudukan perlembagaan dan trajektori pembangunan Sarawak yang unik menuntut kestabilan, kesinambungan kepimpinan serta konsistensi dasar jangka panjang.
Katanya, sistem Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Malaysia yang berteraskan sistem Westminster telah menyediakan mekanisme semak dan imbang yang kukuh. Di bawah sistem ini, seorang Perdana Menteri, Premier, Ketua Menteri atau Menteri Besar hanya kekal memegang jawatan selagi mendapat kepercayaan legislatif, sokongan parti dan Kabinet, mandat rakyat melalui pilihan raya serta tertakluk kepada pengawasan kehakiman.
Beliau berkata, pengenaan had penggal yang terlalu ketat berisiko mewujudkan kitaran pentadbiran ‘mula dan henti’ yang boleh menjejaskan perancangan jangka panjang serta momentum pembangunan.
Mengulas pengalaman negara, beliau berkata tempoh kestabilan kepimpinan sebelum ini membolehkan hala tuju dasar yang konsisten, manakala pertukaran kepimpinan secara kerap dalam beberapa tahun kebelakangan, termasuk ketika krisis COVID-19, telah membawa kepada perubahan strategi dan keutamaan nasional yang menjejaskan keberkesanan tadbir urus.
Bagi negeri membangun seperti Sarawak, jelasnya, strategi jangka panjang amat penting khususnya dalam pembangunan infrastruktur, pelaburan modal insan dan transformasi ekonomi. Had penggal tetap, katanya, boleh melemahkan komitmen terhadap dasar yang manfaatnya hanya dapat dilihat dalam jangka masa panjang.
Tambah beliau, pertukaran kepimpinan yang kerap juga berpotensi melemahkan kekuatan rundingan Sarawak dalam mempertahankan serta menuntut hak-haknya di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Kesinambungan kepimpinan memastikan memori institusi terpelihara, strategi kekal konsisten dan rundingan dengan Kerajaan Persekutuan dapat dilaksanakan secara berterusan dan berkesan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berpandangan Sarawak lebih wajar menumpukan usaha memperkukuh peranan semak dan imbang DUN, memperkasa institusi penguatkuasaan yang bebas serta memastikan kebebasan badan kehakiman, berbanding memperkenalkan had penggal yang kaku sehingga berisiko menjadikan pemimpin sebagai ‘lame duck’ atau kurang berwibawa pada penggal akhir.