
KOTA SAMARAHAN: Seni terus membuktikan peranannya sebagai bahasa sejagat yang mampu menyatukan masyarakat merentas budaya, generasi dan sempadan negara menerusi penganjuran ‘Kita Orang: Blue and White 400 International Art Exhibition 2025‘.
Menurut Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, pameran bertaraf antarabangsa seperti itu mencerminkan keupayaan seni sebagai medium penyatuan masyarakat global melalui perkongsian nilai, sejarah dan kemanusiaan sejagat.

“Pameran seperti ini membuktikan bahawa seni merupakan bahasa sejagat yang mampu menyatukan masyarakat merentas budaya, generasi dan sempadan negara,”
“Penyertaan artis daripada pelbagai latar belakang dan negara menjadikan pameran ini sebagai titik pertemuan yang mengingatkan masyarakat dunia tentang persamaan yang dikongsi bersama, berbanding perbezaan yang memisahkan.
“Melalui penyertaan artis daripada pelbagai latar belakang dan negara, pameran ini menjadi titik pertemuan yang mengingatkan kita tentang apa yang menyatukan kita,” katanya ketika berucap merasmikan pameran tersebut di Artavern Art Space, La Promenade Mall, hari ini.
Tambah beliau, Sarawak sebagai negeri unik dengan 34 kumpulan etnik, kepelbagaian budaya, agama, seni dan muzik yang hidup harmoni, mempunyai kekuatan tersendiri untuk diketengahkan di peringkat antarabangsa.
“Seni dan budaya bukan sahaja mencerminkan identiti kita, malah menjadi jambatan yang menghubungkan Sarawak dengan masyarakat antarabangsa,”
“Penganjuran pameran seni bertaraf antarabangsa seumpama ini mengangkat Sarawak sebagai destinasi seni dan budaya yang relevan di peringkat global, sekali gus menyumbang kepada pembangunan industri kreatif negeri.
“Ruang seni seperti ini bukan sahaja mempamerkan karya, tetapi membuka peluang pertemuan, pertukaran idea dan pembinaan jaringan dalam kalangan penggiat seni tempatan dan antarabangsa,” ujarnya.

Beliau mengulas lanjut bahawa, apabila seni, pendidikan, komuniti dan pelancongan digabungkan, ia mewujudkan ekosistem mampan yang mampu menyokong pertumbuhan ekonomi kreatif serta memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan budaya Sarawak.
Pameran Kita Orang: Blue and White 400 menghimpunkan 400 artis dari lebih 20 negara bagi memperingati ulang tahun ke-400 Wanli Shipwreck, sebuah kapal Portugis yang karam di perairan Terengganu dengan muatan porselin biru-putih dari Jingdezhen, China, sekali gus melambangkan pertukaran budaya Timur dan Barat.
Pameran ini berlangsung hari ini hingga 25 Januari ini dan dibuka kepada orang ramai secara percuma di Artavern Art Space, La Promenade Mall.
Oleh Masrin Affirah