KUCHING: Usahawan Agro lada di negeri ini diseru untuk terokai keusahawanan hiliran sebagai bidang baharu komoditi lada.
Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Willie Mongin mengatakan usaha untuk mewujudkan lebih ramai usahawan agro lada bukan sahaja dapat membantu bakal usahawan malah ia adalah langkah mengukuhkan pasaran tempatan.
“Ini adalah sebagai langkah untuk mengukuhkan pasaran tempatan agar tidak terlalu bergantung kepada pasaran eksport.
“Selain itu, ia juga mengurangkan kesan akibat daripada ketidaktentuan harga komoditi.”Katanya.
Beliau berkata, para pekebun kecil yang berpotensi disaran untuk meningkatkan nilai tambah tanaman yang mereka usahakan untuk menerokai pengetahuan dan kemahiran yang bersesuaian.
“Dengan menerokai potensi komoditi tersebut dan menceburkan diri dalam keusahawanan hiliran ini, seterusnya para pekebun tidak bergantung hanya kepada pengeluaran lada sahaja.
“Malah, ia mampu meningkatkan produktiviti dan kualiti produk yang mereka usahakan.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan Bengkel Pembangunan Agropreneur Lada di Hotel UCSI, semalam.
Willie Mongin ketika ditemui media berkata, lada Malaysia adalah antara yang terbaik di dunia dan turut diperakui oleh Komuniti Lada Antarabangsa (IPC).
Industri lada antara penyumbang besar kepada pendapatan eksport negara setiap tahun dengan Malaysia merupakan negara pengeluar lada kelima terbesar di dunia selepas Vietnam, Brazil, Indonesia dan India.
“Para pekebun kecil di negeri ini digalakkan menceburi aktiviti penanaman lada bagi meningkatkan ekonomi mereka memandangkan harga komoditi itu yang tinggi di pasaran.
“Justeru itu, saya berharap agar pekebun kita di negeri ini mengambil peluang untuk belajar menanam lada,” katanya.
Turut hadir, Setiausaha Bahagian, Bahagian Pembangunan Industri Koko dan Lada, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Kanagadevi Pachaiappan; Ketua Pengarah Lada Malaysia, Stanley JK Liew; Timbalan Ketua Pengarah Lembaga Lada Malaysia, Philip Gaweng dan Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Pasaran & Perniagaan Lembaga lada Malaysia, Langgi Chaling.
Oleh Jeakqleyn Yacho