
BINTULU: Penduduk di kawasan terdedah banjir dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan berpindah sekiranya keadaan menjadi kritikal serta mengutamakan keselamatan diri dan keluarga berikutan hujan berterusan yang melanda daerah ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, penduduk yang terjejas digalakkan supaya segera berhubung dengan pihak berkuasa daerah sekiranya memerlukan bantuan atau pemindahan.
“Nasihat saya kepada penduduk yang berada di kawasan banjir ketika ini, sekiranya keadaan sudah berada pada tahap kritikal, adalah lebih baik untuk berpindah dan berhubung dengan Pejabat Residen atau Pejabat Daerah supaya bantuan dapat disalurkan.
“Dalam masa yang sama, penduduk perlu sentiasa peka terhadap keadaan paras air dan hujan lebat serta mengutamakan keselamatan, termasuk memastikan semua peralatan elektrik dimatikan sekiranya paras air meningkat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas penyerahan bakul makanan daripada Pusat Khidmat DUN Jepak kepada Pejabat Daerah Bahagian Bintulu di sini, hari ini.
Sementara itu, Pegawai Daerah Bintulu, Awang Mohammed Nizam Awang Ali Bohan berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Bintulu telah berada dalam keadaan siap siaga sejak awal Januari bagi menghadapi sebarang kemungkinan banjir.
Menurut beliau, langkah kesiapsiagaan awal termasuk pengoperasian bilik operasi bencana serta penyampaian maklumat dan saluran komunikasi kecemasan kepada ketua masyarakat dan ketua kaum di seluruh daerah Bintulu.
“Sejak awal Januari, pihak kami telah berkongsi nombor telefon penting agensi terlibat kepada ketua masyarakat dan ketua kaum untuk diwar-warkan kepada komuniti.
“Untuk makluman orang ramai, bilik operasi bencana Bintulu telah beroperasi secara rasmi sejak 2 Januari 2026 dan boleh dihubungi melalui talian 086-310557 sekiranya berlaku sebarang isu berkaitan banjir atau kecemasan,” katanya.
Ujar beliau, operasi kesiapsiagaan itu bertujuan memastikan tindakan pantas dan terkoordinasi dapat diambil bagi melindungi keselamatan penduduk serta mengurangkan risiko kejadian tidak diingini.
Oleh Carolyne Utih