
MIRI: Perbelanjaan melebihi RM1,000 terpaksa dikeluarkan oleh sebuah keluarga bagi menyediakan keperluan persekolahan lima anak yang masih bersekolah bagi sesi persekolahan tahun ini.
Ibu kepada lima anak, Suliyanti Simpol, berkata kos tersebut melibatkan pembelian pakaian seragam, kasut, beg sekolah, alat tulis serta keperluan asas lain yang perlu disediakan sebelum sesi persekolahan bermula.
Menurutnya, kesemua anaknya masih menuntut di pelbagai peringkat pendidikan iaitu anak sulung di Tingkatan 1, dua anak kembar berusia sembilan tahun di Tahun 3 serta dua anak kembar lagi yang masih berada di peringkat tadika.
“Perbelanjaan memang agak tinggi kerana semua anak masih bersekolah. Namun saya bersyukur kerana menerima bantuan sebanyak RM500 yang sedikit sebanyak membantu mengurangkan beban kewangan keluarga,” katanya.
Suliyanti berkata demikian ketika ditemui Utusan Sarawak pada majlis penyerahan Baucar Inisiatif Kesejahteraan Rakyat Malaysia MADANI (Sejahtera MADANI): Fokus Pendidikan bagi 2026 yang berlangsung di pasar raya Hari-Hari Cawangan Senadin, di sini, hari ini.
Menerusi inisiatif tersebut, setiap penerima menerima baucar Pasaraya Hari-Hari bernilai RM500 yang boleh ditebus bagi pembelian keperluan persekolahan.
Beliau turut menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada pihak kerajaan atas inisiatif bantuan persekolahan yang disifatkan amat membantu golongan berpendapatan rendah, khususnya keluarga besar seperti beliau.
“Sekurang-kurangnya bantuan ini dapat membantu kami membuat persiapan sekolah anak-anak dengan lebih teratur,” katanya.
Oleh Liong Chai Ling