
KUCHING: Majlis Islam Sarawak (MIS) menegaskan bahawa restoran mesra Muslim tidak boleh dianggap halal sekiranya premis berkenaan tidak memiliki pensijilan halal yang sah, susulan kekeliruan yang tular di media sosial baru-baru ini.
Yang Dipertua MIS, Datuk Misnu Taha berkata walaupun sesebuah premis menyediakan kemudahan mesra Muslim, status halal hanya boleh ditentukan melalui pensijilan halal yang diiktiraf dan bukannya sekadar pengakuan atau label tertentu.
“Sekiranya premis itu tidak memiliki pensijilan halal, ia tidak boleh dianggap halal walaupun berstatus mesra Muslim,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Bersama Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, di Kompleks Islam Sarawak, di sini hari ini.
Dalam usaha menggalakkan lebih banyak premis mendapatkan pensijilan halal, Datuk Misnu memaklumkan bahawa MIS menetapkan caj permohonan hanya RM200 bagi tempoh dua tahun, sekali gus menepis tanggapan bahawa kos pensijilan halal mahal dan membebankan peniaga.
Beliau berkata MIS turut mengambil pendekatan turun padang dengan membantu premis makanan, khususnya restoran makanan laut, memohon pensijilan halal termasuk membimbing mereka sepanjang proses permohonan.
“Pendekatan kami adalah membantu, bukan menghukum. Kami turun ke kawasan terlibat dan menawarkan bantuan kepada peniaga yang berminat untuk mendapatkan pensijilan halal,” tambah beliau.
Datuk Misnu mendedahkan MIS akan bekerjasama dengan agensi berkaitan bagi mewujudkan lebih banyak zon halal di negeri ini bagi memudahkan orang ramai mendapatkan perkhidmatan dan makanan yang diyakini halal.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak mempermudah isu halal dan sentiasa merujuk kepada saluran rasmi termasuk aplikasi penjejakan halal yang disediakan pihak berkuasa agama.
Oleh Adele Rissa