
KUCHING: Hujan berterusan sejak malam tadi menyebabkan beberapa kawasan di Simunjan dan Kuching terjejas banjir, sekali gus mendorong pembukaan pusat pemindahan sementara (PPS) serta pemantauan berterusan oleh pasukan keselamatan dan agensi berkaitan.
Menurut Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sarawak dalam satu kenyataan, keadaan banjir melibatkan kawasan penempatan, laluan terputus serta rumah penduduk yang dinaiki air dengan tindakan awal diambil bagi memastikan keselamatan mangsa.
Katanya, di Daerah Simunjan, PPS Dewan Mesra Simunjan dibuka secara rasmi pada 8.00 pagi tadi bagi menempatkan penduduk terjejas.
“Setakat ini, seramai 37 mangsa daripada 13 Ketua Isi Rumah (KIR) telah dipindahkan melibatkan Kampung Hijrah Fasa II, Kampung Jalan Tun Openg dan Kampung Simunjan Jaya,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, APM Kuching turut melaksanakan pemantauan di beberapa lokasi berisiko banjir.
“Di Kampung Tengah Sungai, paras air dilaporkan meningkat sehingga laluan ke rumah mangsa tidak dapat dilalui.
“Sebuah rumah terjejas dan mangsa telah dinasihatkan berpindah sementara ke surau kampung atas faktor keselamatan, selain permohonan bantuan bekalan makanan dikemukakan,” jelasnya.

Pemantauan di Kampung Sejijak mendapati keadaan masih terkawal dengan paras air menurun dan laluan boleh dilalui tanpa keperluan pemindahan penduduk.
Sementara itu, lima rumah di Kampung Landeh dilaporkan terjejas banjir dengan paras air mencecah kira-kira tujuh kaki.
Satu keluarga bersetuju berpindah sementara ke Sekolah Kebangsaan (SK) Landeh, manakala empat keluarga memilih untuk kekal di kediaman masing-masing dengan pemantauan rapi oleh pihak berkuasa.
APM memaklumkan rondaan dan pemantauan akan diteruskan dari semasa ke semasa serta menasihatkan penduduk di kawasan berisiko supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pemindahan yang dikeluarkan demi keselamatan nyawa.