KUCHING: Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak (YSSIS) akan memberikan subsidi yuran kepada para pelajar sebagai inisiatif membuka peluang kepada semua anak Sarawak menikmati pendidikan bertaraf antarabangsa.
Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Datuk Seri Michael Manyin Jawong berkata, pelajar dari keluarga M40 akan mendapat subsidi separuh sementara pelajar dari keluarga B40 akan mendapat subsidi penuh.
“Pemilihan pelajar akan merangkumi semua pelajar dari semua kaum, strata dan asal boleh memasuki sekolah ini selagi mereka adalah rakyat Sarawak dan memenuhi kriteria pemilihan,” katanya.
Manyin berkata demikian pada Majlis Pecah Tanah Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak (YSSIS) di Jalan Kuching-Serian semalam.
Menurut Manyin, subsidi yang disediakan oleh kerajaan bertujuan untuk merapatkan jurang antara rakyat di bandar dan luar bandar.
“Ibu bapa bersedia membayar kerana pendidikan yang diberikan di sekolah ini menggunakan bahasa Inggeris dan menawarkan kurikulum yang diterima di peringkat antarabangsa,
“Malangnya, kerana kos yang tinggi, ibu bapa dengan pendapatan yang terhad, terutamanya dari luar bandar tidak mampu menghantar anak-anak mereka ke sekolah ini,” ujarnya.
Oleh yang demikian, Manyin mengakui pewujudan sekolah antarabangsa swasta di Malaysia telah mewujudkan senario akses yang tidak sama terhadap pendidikan antarabangsa yang berkualiti.
Kata Manyin, situasinya sebahagian besar pekerjaan baik dalam industri dan perdagangan serta sektor awam akan diambil oleh para pelajar sekolah antarabangsa yang kebanyakannya berasal dari keluarga berada sehingga pelajar pintar miskin di luar bandar tidak mempunyai masa depan secerah mereka.
Justeru Manyin menekankan Kerajaan Sarawak melalui Yayasan Sarawak optimis membina lima YSSIS untuk rakyat dari semua lapisan masyarakat.
Ujarnya lagi YSSIS berkenaan menawarkan pendidikan yang lebih holistik dan menyeluruh dengan merangkumi perkembangan fizikal, emosi, sosial dan intelektual pelajar.
“Pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang digunakan di kebanyakan sekolah antarabangsa adalah pelajar berpusat merangkumi kemahiran belajar abad ke-21 yang melengkapkan pelajar untuk menghadapi cabaran masa depan dengan lebih yakin,
“Pelajar dari sekolah-sekolah ini juga lebih bersedia untuk pendidikan tinggi dan tanggungjawab kepimpinan,” tegasnya.
Terdahulu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hadir bagi menyempurnakan majlis pecah tanah YSSIS pertama di Jalan Kuching-Serian semalam.
Empat lagi lokasi YSSIS ialah sebuah di Kuching (belum ditentukan lokasi) dan masing-masing sebuah di Sibu, Bintulu dan Miri.
Turut hadir, Menteri Muda Penyelidikan Sains dan Bioteknologi, Dr. Annuar Rapaee dan Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi.
Oleh Diyana Samsuddin