
KUCHING: Mangsa banjir yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dinasihatkan supaya tidak bimbang terhadap keselamatan rumah dan harta benda yang ditinggalkan kerana kawasan perumahan terjejas akan dipantau oleh pihak polis.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata keselamatan nyawa merupakan keutamaan dan penduduk diminta mematuhi arahan pemindahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
“Saya faham kebimbangan mangsa mengenai rumah dan harta benda yang ditinggalkan, namun orang ramai tidak perlu risau kerana pihak polis akan memantau kawasan perumahan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa mengadakan lawatan ke PPS Taman Duranda Emas, di sini, hari ini.
Menurut beliau, pemantauan oleh polis penting bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku ketika penduduk berada di PPS.
“Apabila diarahkan berpindah, mesti berpindah. Kita tidak mahu sebarang peristiwa yang tidak diingini berlaku sekiranya penduduk kekal di kawasan yang dinaiki air,” katanya.
Dalam pada itu, Uggah berkata pihak berkuasa turut melaksanakan saringan kesihatan ke atas mangsa banjir bagi memastikan tiada penularan penyakit berjangkit, khususnya ketika musim selesema.
“Pasukan perubatan diminta membuat saringan kesihatan bagi memastikan tiada mangsa mengalami demam. Jika ada, mereka perlu diasingkan bagi mengelakkan penularan penyakit,” katanya.
Beliau turut memaklumkan pihak berkuasa tempatan akan menjalankan kerja pengasapan di kawasan PPS bagi mencegah pembiakan nyamuk dan penularan penyakit denggi.
“Kerja pengasapan dilaksanakan supaya kita dapat memastikan mangsa yang pulang nanti tidak terdedah kepada risiko denggi,” katanya.
Uggah berkata semua langkah berkenaan diambil bagi memastikan mangsa banjir yang terjejas mendapat perlindungan dan layanan sewajarnya sepanjang berada di PPS.
Oleh Shahrul Qaizat