
SIBURAN: Banjir yang melanda Taman Duranda Emas sejak awal pagi semalam bukan kejadian pertama, sebaliknya merupakan episod banjir berulang yang pernah berlaku beberapa kali sejak 2001.
Ketua Kaum Taman Duranda Emas, Philip Sungking, 61, berkata kawasan berkenaan pernah mengalami banjir besar pada 2001 dan 2016 yang turut mengakibatkan air memasuki kediaman penduduk.
“Banjir kali ini memang masuk ke rumah, tetapi belum seteruk yang berlaku pada 2001 dan 2016.
“Tahun-tahun sebelum ini seperti 2023 dan 2024, air hanya naik sehingga jalan raya sahaja,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Taman Duranda Emas di sini, hari ini.
Menurut beliau, seramai 48 Ketua Isi Rumah (KIR) melibatkan 188 mangsa telah terjejas setakat ini, dan jumlah berkenaan dijangka meningkat berikutan paras air yang masih berubah-ubah.
Beliau berkata, kejadian banjir bermula sekitar 12.30 tengah malam, selepas menerima makluman daripada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKK) sebelum membuka Dewan yang dijadikan PPS.


“Sebelum dewan ini siap tahun lalu, penduduk yang terjejas banjir akan ditempatkan sementara di Balai Bomba Siburan,” jelasnya.
Philip berkata, punca utama banjir adalah aliran air dari kawasan berbukit dan kampung sekitar yang mengalir melalui sistem parit panjang sebelum menuju ke sungai besar, ditambah dengan fenomena air pasang besar.
“Air naik dengan cepat tetapi turun juga agak cepat. Paras air di jalan raya semalam mencecah lebih dua kaki dan menyebabkan laluan tidak dapat dilalui,” katanya.
Philip berkata, sekiranya banjir berulang dan berlaku penambahan jumlah mangsa, kemungkinan mangsa baharu akan ditempatkan di Balai Bomba Siburan memandangkan PPS Dewan Taman Duranda Emas kini sudah penuh.
“Buat masa ini PPS di sini telah menempatkan mangsa sedia ada dan sekiranya berlaku pertambahan, penempatan sementara lain perlu dipertimbangkan,” katanya.
Taman Duranda Emas mempunyai hampir 2,000 rumah melibatkan lima komuniti utama iaitu Melayu, Iban, Cina, Bidayuh dan Orang Ulu.
Oleh Shahrul Qaizat