
MASA merupakan antara nikmat terbesar yang Allah SWT kurniakan kepada manusia. Ia berjalan tanpa henti dan tidak akan pernah kembali. Setiap detik yang berlalu menjadi saksi terhadap apa yang kita lakukan, sama ada kebaikan atau keburukan.
Oleh itu, Islam sangat menekankan kepentingan mengisi waktu dengan amalan yang bermakna agar kehidupan manusia tidak sia-sia dan membawa manfaat di dunia serta di akhirat.
Allah SWT berfirman dalam Surah al-‘Asr ayat 1–3: “Demi masa. Sesungguhnya manusia benar-benar berada dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman, beramal soleh, saling berpesan dengan kebenaran dan saling berpesan dengan kesabaran.”
Ayat ini menunjukkan bahawa masa boleh menjadi punca kerugian sekiranya tidak dimanfaatkan dengan baik. Kerugian yang dimaksudkan bukan sahaja dari sudut duniawi, bahkan lebih besar lagi dari sudut akhirat.
Oleh itu, mengisi waktu dengan amalan bermakna adalah satu keperluan dalam kehidupan seorang Muslim.
Amalan bermakna tidak semestinya sesuatu yang besar atau luar biasa. Dalam Islam, setiap perbuatan yang dilakukan dengan niat yang ikhlas kerana Allah SWT akan dikira sebagai ibadah.
Contohnya, bekerja mencari rezeki halal, menuntut ilmu, membantu ibu bapa, menjaga kebersihan, dan bahkan berehat dengan niat untuk menyegarkan tubuh bagi beribadah juga dikira sebagai amalan yang bermakna.
Hal ini menunjukkan bahawa Islam adalah agama yang menyeluruh dan praktikal, yang mengajar umatnya agar tidak memisahkan urusan dunia dan akhirat.
Namun begitu, realiti kehidupan hari ini menunjukkan ramai manusia yang mensia-siakan masa.
Masa dihabiskan dengan perkara yang tidak memberi faedah seperti melayari media sosial tanpa tujuan, hiburan berlebihan, dan perbuatan yang melalaikan. Akibatnya, umur semakin bertambah tetapi amal kebaikan semakin berkurang.
Rasulullah SAW pernah mengingatkan umatnya melalui sebuah hadis: “Dua nikmat yang sering dilalaikan oleh kebanyakan manusia: nikmat sihat dan masa lapang.” (Riwayat al-Bukhari)
Hadis ini menjadi peringatan jelas bahawa masa lapang bukan untuk diisi dengan kelalaian, sebaliknya perlu dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Orang yang bijak ialah mereka yang menggunakan masa lapang sebelum datang kesibukan, dan masa hidup sebelum datang kematian.
BERDISIPLIN DENGAN WAKTU
Mengisi waktu dengan amalan bermakna juga membantu membentuk peribadi yang berdisiplin dan bertanggungjawab. Apabila seseorang merancang waktunya dengan baik, dia akan lebih menghargai setiap peluang yang ada.
Kehidupan menjadi lebih teratur, jiwa menjadi lebih tenang, dan hati lebih dekat dengan Allah SWT. Sebaliknya, mereka yang tidak menghargai masa akan sentiasa berada dalam keadaan tergesa-gesa, tertekan, dan mudah menyesal di kemudian hari.
Selain itu, amalan bermakna juga memberi kesan positif kepada masyarakat. Individu yang menggunakan masa dengan baik akan menyumbang kepada keharmonian keluarga, kemajuan masyarakat, dan pembangunan negara.
Contohnya, seorang pelajar yang menggunakan waktunya untuk belajar dengan bersungguh-sungguh akan menjadi insan berilmu yang dapat memberi manfaat kepada orang lain. Begitu juga seorang pekerja yang amanah dan rajin akan meningkatkan kualiti kerja serta kepercayaan masyarakat.
Islam juga mengajar umatnya agar sentiasa bermuhasabah terhadap penggunaan masa. Setiap hari yang berlalu seharusnya menjadi penilaian terhadap diri sendiri.
Apakah hari ini lebih baik daripada semalam? Apakah amalan kita semakin bertambah atau sebaliknya? Sikap muhasabah ini sangat penting agar kita tidak terus lalai dan leka dengan dunia.
Sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah al-Munafiqun ayat: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah harta benda dan anak-anak kamu melalaikan kamu daripada mengingati Allah.”
Ulama besar dari kalangan para sahabat

SAIDINA Uthman bin Affan termasuk salah seorang ulama besar dari kalangan para sahabat Rasulullah SAW. Selain daripada menghafal Al-Quran, beliau juga termasuk di kalangan sahabat yang kerap mengeluarkan fatwa ketika zaman Rasulullah SAW.
Oleh sebab memiliki ilmu yang tinggi, maka beliau layak menjadi calon khalifah Islam. Saidina Umar bin Al Khattab telah memasukkan Saidina Uthman bin Affan dalam senarai calon-calon khalifah antara sebabnya adalah kerana Saidina Uthman bin Affan memiliki ilmu yang tinggi di samping memiliki akhlak yang baik.
Ini kerana untuk menjadi khalifah Islam, seseorang itu mestilah faqih dengan Kitabullah dan Sunnah Rasulullah SAW
Al Qasim bin Muhammad berkata, “Abu Bakar, Umar, Uthman dan Ali memberi fatwa pada zaman Rasulullah SAW”. Manakala Sahl bin Abu Hathmah pula berkata, “Orang-orang yang biasa memberi fatwa pada zaman Rasulullah SAW terdiri daripada tiga orang Muhajirin dan tiga orang Ansar iaitu Umar, Uthman, Ali, (Muhajirin) Ubay bin Kaab, Mu’adz bin Jabal dan Zaid bin Thabit”. (Ansar)
Di samping itu, beliau juga sering memberi fatwa di zaman pemerintahan Saidina Abu Bakar. Ketika Saidina Umar menjadi khalifah, Saidina Umar hanya menetapkan beberapa orang sahabat sahaja yang layak memberi fatwa.
Antaranya ialah Saidina Uthman, Saidina Ali, Ubay bin Ka’ab dan Zaid bin Thabit. Saidina Uthman bin Affan juga diriwayatkan sahabat yang paling faqih dalam manasik haji (kaedah melaksanakan haji mengikut Sunnah Rasulullah SAW). Setelah beliau, orang yang faqih dalam manasik haji ialah Abdullah bin Umar.
Walaupun memiliki ilmu yang tinggi, namun Saidina Uthman bin Affan tidak banyak meriwayatkan hadith-hadith Rasulullah SAW. Ini kerana beliau bimbang bahawa hafalannya terhadap hadith-hadith Rasulullah SAW tidak sempurna yang menyebabkan akan berlakunya kekurangan atau pertambahan pada hadith-hadith Rasulullah SAW.
Beliau sendiri pernah berkata, “Perkara yang menghalang aku untuk menyampaikan hadith dari Rasulullah SAW bukanlah kerana aku tidak memahami Sunnah-sunnah baginda. Akan tetapi kerana aku pernah mendengar baginda bersabda, “Barangsiapa yang mengatakan atas namaku sesuatu yang tidak pernah aku katakan, maka hendaklah dia bersiap-siap untuk menempatkan dirinya di neraka”.
Di samping itu, kesibukannya di dalam menguruskan negara juga menjadi faktor beliau tidak banyak meriwayatkan hadith-hadith Rasulullah SAW. Di zaman Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar, beliau sibuk membantu kedua-dua khalifah ini menguruskan negara.
Kesibukannya itu bertambah apabila beliau sendiri mengetuai kerajaan Islam. Oleh yang demikian, Saidina Uthman bin Affan hanya meriwayatkan sekitar 146 buah hadith sahaja. Beliau juga meriwayatkan hadith Rasulullah SAW dari Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar.
Hanzalah Azman