
KUCHING: Yayasan Sime Darby (YSD) terus memperkukuh komitmennya terhadap usaha pemuliharaan biodiversiti dan pembangunan lestari di Sarawak menerusi kunjungan hormat ke Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (MUDeNR), semalam.
Kunjungan hormat tersebut diterima Setiausaha Tetap kementerian berkenaan, Datu Abdullah Julaihi bersama Pengerusi YSD, Tunku Tan Sri Imran Ibni Tuanku Ja’afar, bertujuan memperkukuh kerjasama strategik dalam agenda pemeliharaan alam sekitar serta kesejahteraan komuniti di negeri ini.
Turut hadir ialah Ahli Majlis Tadbir YSD, Datu Rashidah Bolhassan, Ketua Pegawai Eksekutif YSD, Yatela Zainal Abidin, Ketua Pegawai Operasi YSD Muzdalifah Mohd Nasir, Pengurus Besar Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC), Abang Arabi Abang Aimran serta beberapa ketua bahagian kementerian berkaitan.
Perbincangan memfokuskan penjajaran inisiatif filantropi YSD, yang disokong syarikat penderma Sime Darby Berhad, SD Guthrie Berhad dan Sime Darby Property Berhad, dengan keutamaan Sarawak dalam pengurusan alam sekitar dan pembangunan mampan.
Sejak 2011, YSD telah melaksanakan 25 projek di Sarawak dengan 20 daripadanya masih aktif, melibatkan pelaburan melebihi RM65 juta merangkumi lima teras utama iaitu Pendidikan, Alam Sekitar, Komuniti dan Kesihatan, Sukan serta Seni dan Budaya.
Antara tumpuan utama ialah kerjasama berterusan YSD dengan SFC dalam usaha pemuliharaan Taman Negara Maludam, khususnya pelaksanaan Pelan Tindakan Pemuliharaan Spesies (SCAP) bagi Sarawak Red Langur yang kini dianggarkan kurang daripada 300 ekor dan hanya ditemui di taman negara tersebut.
Pelan berkenaan bukan sahaja menekankan perlindungan spesies dan pendidikan alam sekitar, malah menggalakkan pelancongan berasaskan alam secara bertanggungjawab serta meningkatkan ekonomi sekurang-kurangnya 8,000 penduduk kumpulan B40 di sekitar kawasan itu.
Menurut Tunku Imran, kepimpinan kementerian amat penting dalam memacu keutamaan pemuliharaan yang seimbang antara pemeliharaan warisan semula jadi dan keperluan komuniti setempat.
Beliau menegaskan komitmen YSD untuk terus bekerjasama rapat dengan agensi kerajaan negeri dan pihak berkepentingan tempatan demi mencapai impak jangka panjang.
Dalam teras alam sekitar, YSD turut bekerjasama dengan SFC dan SD Guthrie Berhad melalui projek Plant A Tree di Estet Damai, Bintulu yang melibatkan penanaman 60,000 pokok endemik dan terancam di kawasan seluas 95 hektar bagi memulihkan tanah terdegradasi serta meningkatkan biodiversiti berhampiran Hutan Simpan Bukit Tiban.
Selain itu, usaha pemuliharaan marin turut diperkasakan menerusi kerjasama jangka panjang YSD dengan Yayasan Penyelidikan Marin termasuk penggunaan pemantauan elektronik perikanan, amalan perikanan mesra penyu melalui Peranti Pengecualian Penyu (TED) serta pengurangan tangkapan sampingan berasaskan bukti saintifik.
Dalam bidang pendidikan pula, YSD telah menyalurkan RM10.4 juta bagi biasiswa dan bantuan pendidikan kepada pelajar Sarawak termasuk golongan orang kurang upaya serta laluan TVET, manakala Program ‘REACH YSD’ menyediakan bantuan kembali ke sekolah berjumlah RM1.44 juta di seluruh negeri.
YSD turut aktif dalam sokongan kesihatan dan komuniti, sukan serta seni dan budaya, sekali gus mencerminkan pendekatan menyeluruh yayasan itu dalam menyumbang kepada pembangunan Sarawak yang mampan dan inklusif.