Jabatan Pertanian Sarawak baru-baru ini telah menganjurkan Program Jangkauan Pengembangan Komuniti Pertanian (AgriCOP) yang bertempat di Kampung Taba Sait di Skim Penempatan Semula Bengoh, Padawan.
Tujuan utama program AgriCOP diadakan adalah untuk mengembangkan aktiviti-aktiviti pertanian yang terdapat di Sarawak serta memberikan pendedahan awal secara langsung mengenai perkembangan pertanian yang terkini kepada golongan petani melalui taklimat, pameran dan demonstrasi pertanian.
Program tersebut disertai oleh 200 orang golongan petani dari komuniti Biya. antara kampung-kampung yang terlibat sama dalam program adalah dari Kampung Nusaraya, Kampung Semban,Kampung Rejoi, Kampung Pain Bojong dan Kampung Taba Sait serta termasuklah semua Ketua Masyarakat dari Daerah Kecil, Padawan.
Antara topik yang diberi penekanan oleh Jabatan Pertanian menerusi program berkenaan adalah seperti teknologi fertigasi halia, teknologi tanaman kopi secara berkelompok dan tanaman nanas.
Selain daripada itu, para petani turut diberi pendedahan mengenai perkembangan teknologi penanaman, cara mengawal makhluk perosak dan juga amalan pertanian baik (MyGAP).
Adun Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr.Jerip Susil ketika merasmikan majlis itu mengajak penduduk di kawasan tersebut untuk menjadi usahawan tani dengan mengusahakan tanah sendiri.
Selain daripada menambah pendapatan keluarga katanya, penduduk luar bandar secara tidak langsung dapat meningkatkan tahap kehidupan keluarga mereka daripada kepompong kemiskinan dengan mengusahakan tanah masing-masing menerusi projek pertanian yang sedia ada.
Sementara itu, usahawan tani merujuk kepada individu yang mengusahakan sesuatu aktiviti pertanian sama ada ternakan ataupun tanaman dengan menggunakan teknologi-teknologi moden.
Golongan ini bertanggungjawab dalam pengeluaran makanan terutamanya ternakan dan tanaman yang diusahakan untuk memperlbagaikan sumber makanan yang sedia ada dan menghasilkan makanan yang berkualiti.
Oleh itu, usahawan tani memainkan peranan yang sangat penting terhadap kesejahteraan masyarakat dan pembangunan dalam sesebuah negara.
Penduduk di luar bandar dan pedalaman kurang pendedahan mengenai pertanian moden seperti fertigasi berstruktur, hidroponik, akuaponik, dan Internet of Things (IoT) sedangkan ia hanya melibatkan penggunaan kawasan dan tenaga manusia yang minima tetapi masih dapat mengeluarkan hasil yang tinggi berbanding dengan penanaman secara konvensional.
“Sekiranya mereka diberikan pendedahan awal mungkin akan lebih ramai usahawan tani di negeri kita yang mendapat manfaat. Ini adalah kerana kebanyakan penduduk di luar bandar ketika ini lebih cenderung dengan kaedah penanaman konvensional,” ujar Dr. Jerip.
Justeru sudah tiba masanya untuk lebih ramai penduduk di luar bandar terutamanya golongan muda untuk menerokai tanaman moden. Selain daripada itu, mereka juga perlu arif mengenal pasti kawasan yang sesuai untuk pertanian dan mewujudkan lebih banyak tanaman berkelompok.
Penduduk luar bandar harus berani dan mengambil peluang yang ada untuk mengusahakan tanah mereka daripada membiarkan tanah ditumbuhi semak dan terbiar. Tetapi ia adalah terpulang kepada keputusan mereka sendiri.