
BINTANGOR: Kehadiran serangga berbisa di kawasan kediaman dan premis awam terus menjadi isu keselamatan yang masih memerlukan perhatian.
Serangga berbisa seperti tebuan boleh muncul tanpa disedari dan membina sarang di lokasi yang hampir dengan aktiviti harian manusia.
Situasi ini bukan sahaja menimbulkan ketidakselesaan, malah berpotensi mengancam keselamatan penduduk sekiranya tidak ditangani dengan segera.
Walaupun bersaiz kecil, serangga berbisa mampu mendatangkan risiko serius, khususnya apabila berlaku sengatan.
Dalam keadaan tertentu, sengatan boleh menyebabkan kecederaan dan komplikasi kesihatan.
Kebanyakan kejadian melibatkan serangga berbisa lazimnya berlaku di kawasan kediaman, premis perniagaan dan persekitaran yang kurang diselenggara, di mana sarang boleh terbentuk tanpa disedari.
Faktor cuaca dan perubahan persekitaran turut dikenal pasti mempengaruhi kehadiran serangga berbisa, khususnya ketika musim tertentu.


Sehubungan itu, aspek keselamatan dan kesedaran awam berkaitan ancaman serangga berbisa menjadi perkara penting bagi memastikan risiko kepada masyarakat dapat dikurangkan.
Usaha bersepadu antara agensi keselamatan dan kerjasama masyarakat amat diperlukan bagi menangani ancaman ini secara berkesan dan terkawal.
Di Bintangor, isu berkaitan serangga berbisa terus diberi perhatian oleh pasukan bomba menerusi pelaksanaan operasi pemusnahan sarang.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin yang dihubungi Utusan Sarawak pada hari ini, berkata, sepanjang 2025 pasukannya merekodkan sebanyak 25 panggilan operasi pemusnahan sarang serangga berbisa.
Maklumat yang diperoleh daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Bintangor menunjukkan bahawa operasi pemusnahan tersebut melibatkan pelbagai lokasi, khususnya di kawasan premis dan kediaman.
Menurut Mahmudin, ntara jenis serangga berbisa yang paling kerap dilaporkan oleh orang awam adalah tebuan yang dikenal pasti berbahaya sekiranya sarangnya berada berhampiran kawasan kediaman atau laluan harian penduduk.

Kadar panggilan bagi 2025 menunjukkan penurunan berbanding 2024, mencerminkan peningkatan tahap kesedaran awam dalam mengambil langkah pencegahan di peringkat kediaman.
Penurunan kadar kes ini turut menggambarkan keberkesanan pendekatan pencegahan dan pendidikan keselamatan yang diterapkan dalam kalangan masyarakat setempat.
Mahmudin memaklumkan bahawa faktor cuaca berkemungkinan mempengaruhi peningkatan panggilan kecemasan, terutamanya apabila keadaan persekitaran sesuai untuk pembiakan serangga berbisa.
Katanya, bagi menghadapi situasi tersebut, tahap kesiapsiagaan anggota bomba sentiasa berada dalam keadaan siap siaga, termasuk dari segi penyediaan kelengkapan pemusnahan yang disesuaikan mengikut situasi di lokasi operasi.
“Selain aspek peralatan, latihan berterusan dan peningkatan kemahiran anggota bomba turut diberi penekanan bagi memastikan setiap operasi pemusnahan dapat dijalankan secara selamat, sistematik dan terkawal.
“Keselamatan anggota bomba dan orang awam sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap operasi yang dijalankan bagi mengelakkan sebarang risiko kecederaan atau kejadian tidak diingini semasa proses pemusnahan sarang serangga berbisa dilaksanakan,” katanya.
Katanya, keselamatan orang awam sentiasa menjadi fokus utama pihak bomba dalam menangani kes melibatkan serangga berbisa.
“Keselamatan orang awam sentiasa menjadi fokus utama pihak bomba dalam setiap operasi pemusnahan sarang serangga berbisa.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mendekati atau mengambil tindakan sendiri terhadap sarang serangga berbisa kerana tindakan melulu boleh membahayakan nyawa.
“Sebarang penemuan sarang serangga berbisa di premis atau kediaman hendaklah segera dilaporkan kepada pihak bomba untuk tindakan lanjut,” katanya lagi.
Tambahnya, tindakan individu yang cuba memusnahkan sarang serangga berbisa tanpa pengetahuan serta peralatan yang sesuai bukan sahaja berisiko kepada diri sendiri, malah boleh membahayakan orang sekeliling.
“Sehubungan itu, masyarakat digalakkan agar sentiasa peka terhadap persekitaran kediaman masing-masing dan membuat laporan segera sekiranya mengesan kehadiran sarang serangga berbisa.
“Kerjasama masyarakat setempat adalah faktor penting yang melancarkan operasi pemusnahan sarang serangga berbisa, bermula daripada pelaporan awal sehingga kerja-kerja pemusnahan selesai dilaksanakan,” katanya.
Beliau memaklumkan bahawa tahap kerjasama orang awam setakat ini berada pada tahap yang baik, sekali gus membantu mempercepatkan tindakan di lapangan.
Dalam aspek pencegahan, masyarakat turut dinasihatkan supaya mengambil langkah sewajarnya di premis masing-masing bagi mengurangkan risiko kehadiran serangga berbisa, termasuk menjaga kebersihan dan persekitaran yang selamat.
Langkah pencegahan awal dilihat mampu mengurangkan potensi pembiakan serangga berbisa dan mengurangkan keperluan operasi kecemasan pada masa hadapan.
Usaha berterusan ini diharap dapat memastikan keselamatan awam terus terpelihara serta mengurangkan risiko kejadian serangan serangga berbisa dalam komuniti setempat.
Oleh Earl Anek