PM akan terima anugerah Order Of The Republic semasa lawatan rasmi ke Turkiye – Duta

Facebook
WhatsApp
DUTA Besar Malaysia ke Turkiye Sazali Mustafa Kamal pada sidang media berkenaan lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Turkiye hari ini. Perdana Menteri mengadakan lawatan rasmi ke Turkiye bermula hari ini hingga Khamis sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh hubungan dua hala antara kedua-dua negara. Foto Bernama

ANKARA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menerima anugerah Order of the Republic semasa lawatan rasmi beliau ke Turkiye, yang bermula hari ini hingga Khamis.

Duta Besar Malaysia ke Turkiye Sazali Mustafa Kamal berkata anugerah itu merupakan pengiktirafan tertinggi republik berkenaan sebagai menghargai peranan Anwar dalam memperkukuh hubungan diplomatik Malaysia-Turkiye ke tahap lebih erat dan signifikan.

“Anugerah ini merupakan satu penghargaan tertinggi yang diberikan kepada seorang pemimpin luar yang telah mendekatkan dan memperkukuh hubungan dua hala dengan Turkiye,” katanya pada sidang media sempena lawatan rasmi Perdana Menteri ke Turkiye di sini hari ini.

Sazali berkata anugerah itu akan disampaikan oleh Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan esok.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, mengadakan lawatan rasmi ke Turkiye sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Malaysia untuk memperkukuh hubungan dua hala yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara.- Bernama