

MIRI: Hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu berserta fenomena air pasang besar telah menyebabkan banjir besar melanda Daerah Subis, sekali gus menjejaskan keselamatan serta aktiviti harian penduduk di beberapa kampung sekitar Bekenu dan Niah.
Situasi banjir itu turut mengakibatkan beberapa sekolah terjejas dan tidak dapat beroperasi, selain memaksa Jawatankuasa Bencana Daerah (JPBD) Subis mengarahkan penduduk terlibat berpindah segera ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang diaktifkan.
Setakat ini, sebuah PPS telah dibuka iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bekenu bermula 2.30 petang semalam.
Menurut laporan terkini JPBD Subis setakat 10.15 pagi hari ini seramai 191 mangsa daripada 67 Ketua Isi Rumah (KIR) telah dipindahkan ke PPS berkenaan.

Mangsa terjejas melibatkan penduduk dari Kampung Kawang Bekenu, Kampung Jengalas Bekenu, Kampung Rambai Bekenu, Kampung Pintasan Tiris Bekenu, Kampung Masjid Tiris Bekenu, Kampung Lajung Niah serta Kampung Kelapa Bekenu.
Daripada jumlah keseluruhan mangsa, 96 lelaki dan 95 perempuan direkodkan, melibatkan golongan orang kurang upaya (OKU), warga emas, dewasa, kanak-kanak serta bayi.
Kesemua mangsa yang ditempatkan di PPS dilaporkan berada dalam keadaan selamat dan telah menerima pelbagai bantuan termasuk bekalan makanan harian, kelengkapan tidur serta keperluan asas lain yang diselaraskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Sementara itu, keadaan banjir di kawasan terjejas dilaporkan masih bertahan walaupun paras air menunjukkan sedikit penurunan.
Namun, cuaca gelap dan hujan yang berterusan menimbulkan kebimbangan paras air boleh meningkat semula sekiranya hujan berlarutan hingga ke tengah malam.
Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa dan segera berpindah ke PPS sekiranya diarahkan demi keselamatan diri dan keluarga.
Oleh Liong Chai ling