

BINTANGOR: Sebanyak 72 kes ular diterima dan dihadiri oleh pihak bomba dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Bintangor pada 2025.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin, berkata kes-kes tersebut berlaku setiap bulan dengan variasi yang dipengaruhi faktor cuaca dan persekitaran.
“Pada Januari, sebanyak 10 kes direkodkan, diikuti Februari satu kes, Mac 10 kes, April lima kes dan Mei lima kes.

“Trend ini berterusan pada separuh kedua tahun apabila Jun mencatat tujuh kes, Julai lima kes, Ogos lapan kes, September tujuh kes, Oktober lima kes, November lapan kes dan Disember hanya satu kes, menjadikan keseluruhan 72 kes sepanjang 2025.
“Ular-ular yang berjaya ditangkap biasanya dilepaskan semula ke habitat asal yang jauh dari penempatan awam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Utusan Sarawak, hari ini.


Katanya, analisis statistik bulanan menunjukkan peningkatan ketara pada Januari, Mac, Ogos dan November yang lazimnya bertepatan dengan musim monsun timur laut (MTL) dan peralihan monsun.
Dalam pada itu, Mahmudin berharap agar masyarakat awam supaya sentiasa menjaga kebersihan persekitaran rumah bagi memastikan tiada haiwan liar yang membahayakan seperti ular masuk ke dalam rumah.
“Segera hubungi pihak kami sekiranya ternampak ular di dalam rumah atau sekitar kawasan rumah,” katanya.
Oleh Earl Anek