
KUCHING: Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pengasuh atau pusat jagaan kanak-kanak yang melanggar undang-undang, khususnya melibatkan kes penderaan bayi, tegas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kes penderaan di salah satu taska di Alam Indah, Cheras, Kuala Lumpur, yang mencetuskan kemarahan orang ramai selepas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tular di media sosial baru-baru ini.
Menurut Nancy, kes berkenaan kini berada dalam siasatan pihak polis dan sebarang tindakan lanjut terhadap taska atau pengasuh hanya akan diambil selepas pengesahan serta laporan rasmi diperoleh daripada pihak berkuasa.
“Kes ini sedang ditangani oleh pihak polis dan kita akan menunggu hasil siasatan. Sekiranya perlu, kita tidak teragak-agak untuk menutup taska terbabit mengikut prosedur yang telah ditetapkan,” katanya pada sidang media Bengkel Pembangunan Kepimpinan Untuk Usahawan Wanita Dayak (PENDAYA) di Dayak Chambers di sini, hari ini.
Beliau menjelaskan, sekiranya taska didapati mematuhi peraturan serta piawaian keselamatan yang ditetapkan tetapi pengasuhnya melanggar undang-undang, tindakan tegas akan diambil terhadap individu terbabit.
“Namun, jika taska itu sendiri gagal mematuhi undang-undang dan syarat operasi, maka penutupan boleh dilakukan. Kita tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan kanak-kanak,” tegasnya.
Nancy turut memaklumkan bahawa kerajaan telah lama menetapkan keperluan saringan ketat terhadap pengasuh, termasuk semakan latar belakang melalui pihak polis bagi memastikan individu yang diambil bekerja tidak mempunyai rekod jenayah.
“Proses saringan ini telah dilaksanakan dengan kerjasama pihak polis. Selain itu, taska diwajibkan mempamerkan plak pendaftaran sebagai bukti ia beroperasi secara sah,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa pendaftaran bukan lesen untuk melakukan sebarang pelanggaran undang-undang dan pemantauan terhadap taska akan terus dijalankan dari semasa ke semasa.
“Apa yang berlaku di dalam taska tetap tertakluk kepada pemantauan. Jika ada kesalahan, tindakan akan diambil tanpa kompromi,” katanya.
Dalam kejadian di Cheras itu, polis menahan seorang pengasuh wanita tempatan berusia 26 tahun bagi membantu siasatan kes penderaan melibatkan beberapa bayi berusia antara enam hingga sembilan bulan di sebuah taska di Alam Indah.
Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Aidil Bolhassan, dilaporkan berkata sebanyak tiga laporan diterima berkaitan kes berkenaan, dengan siasatan mendapati hanya seorang suspek terlibat. Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 oleh Bahagian D11, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.
Rakaman CCTV yang tular memaparkan seorang bayi berusia enam bulan dicampak, digolek dan ditampar pengasuh, sekali gus mencetuskan kebimbangan ibu bapa serta kemarahan orang ramai, selain dakwaan beberapa bayi lain turut menjadi mangsa.
Oleh Shahrul Qaizat