Bahan konkrit gergasi ini mungkin tidak kelihatan menarik tetapi inilah syurga bagi hidupan bawah laut. Di sinilah hidupan laut berteduh, sekali gus menjadi habitat selesa untuk terus berkembang biak bagi menjamin kelangsungan bekalan makanan untuk manusia.
Kemajuan di dalam bidang perikanan sebenarnya menjadi ancaman kepada hidupan laut, terutama aktiviti penangkapan ikan secara tidak terkawal ataupun penggunaan teknik penangkapan ikan yang boleh menjejaskan habitat bawah laut.
Pencerobohan nelayan asing memburukkan lagi keadaan, apatah lagi jika mereka menggunakan pukat tunda haram atau mengaut hasil laut negeri secara berleluasa.
Ancaman di bawah laut ini sebenarnya membawa makna ancaman kepada ekonomi negeri. Justeru, pelbagai langkah telah dilaksanakan bagi menjamin kesinambungan hasil laut dan salah satu daripadanya adalah Projek Tukun Tiruan – Reef Ball.
Kerajaan Sarawak memperuntukkan dana besar berjumlah RM70 juta bagi menanam 16,800 tukun tiruan di perairan negeri ini, menganjur dari Tanjung Datuk di Kuching hinggalah ke Lawas di bahagian utara.
Lebih menarik kerana tukun tiruan ini membentuk sebahagian daripada projek tukun tiruan jenis “Reef Ball’ terpanjang di dunia setakat ini.
Dana besar dan usaha jitu ini secara langsung menunjukkan komitmen Kerajaan Sarawak untuk melindungi ekosistem laut melalui penyediaan habitat bagi hidupan laut.
Perairan Mato Dato menjadi tumpuan baru-baru ini apabila projek Penanaman Tukun Tiruan dirasmikan di perairan tersebut oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Dengan adanya projek ini, sudah pasti ia membawa banyak menfaat kepada komuniti nelayan di seluruh negeri, manakala sasaran jangka panjang pula adalah untuk menjamin bekalan ikan yang mencukupi untuk negeri ini.
Berdasarkan kenyataan Sarawak Forestry Corporation (SFC) projek pertama telah dilaksanakan di Belawai pada tahun 2018 dengan penanaman 600 tukun tiruan, diikuti dengan 1,800 lagi ditanam di Lawas dan Igan-Oya pada tahun 2019.
Pada tahun SFC berjaya menanam sebanyak 660 unit tukun tiruan di Pulau Bruit, manakala bakinya lagi dijangka siap ditanam dalam tahun 2020-2021.
Oleh Othman Ishak