

BINTANGOR: Perayaan Gawai Antu yang diraikan di Rumah Tunjang, Sungai Lelabi mencerminkan kelestarian adat dan keharmonian, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing.
Katanya, sambutan Gawai Antu tersebut disertai oleh sembilan pintu Rumah Tunjang.
“Mereka bersama-sama meraikan upacara tradisi tersebut sebagai tanda penghormatan kepada roh nenek moyang mengikut adat dan tradisi masyarakat Dayak.
“Sambutan Gawai Antu bukan sekadar satu upacara adat, malah mencerminkan jati diri serta nilai budaya yang menjadi tunjang kepada keharmonian komuniti rumah panjang di negeri ini.
“Ia merupakan warisan budaya yang amat penting dan perlu terus dipelihara agar tidak luput ditelan zaman, khususnya untuk diwariskan kepada generasi muda,” katanya ketika ditemui media, baru-baru ini.
Katanya, ia juga berperanan sebagai platform mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan penduduk, di samping memperkukuh perpaduan masyarakat berbilang kaum dan latar belakang di kawasan Meradong.
“Melalui perayaan tradisi seperti Gawai Antu, kita dapat memupuk semangat saling menghormati, persefahaman serta hidup harmoni dalam komuniti,” katanya.
Beliau turut beramah mesra bersama penduduk setempat serta mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2026 kepada seluruh penduduk Rumah Tunjang.
“Saya mendoakan agar tahun baharu 2026 membawa kesejahteraan, kesihatan yang baik serta kemakmuran kepada seluruh penduduk Rumah Tunjang dan masyarakat di kawasan Meradong,” katanya.
Turut hadir ahli-ahli Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bintangor.
Oleh Earl Anek