
SANTUBONG: Detik cemas dilalui penduduk Kampung Sungai Batu apabila air banjir mula memasuki kediaman mereka seawal 4.00 pagi semalam, memaksa puluhan penduduk berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Surau Ar Rahman demi keselamatan.
Setakat ini, seramai 52 mangsa daripada 12 keluarga ditempatkan di PPS berkenaan. Mangsa melibatkan 35 orang dewasa, 13 kanak-kanak, empat bayi dan tiga warga emas, sekali gus menggambarkan kesan banjir yang menjejaskan seisi keluarga.
Bagi Mordiah Ipoh, kejadian itu berlaku tanpa diduga apabila beliau menyedari air sudah memasuki rumahnya pada awal pagi.
“Lebih kurang 4.00 pagi saya sedar air sudah masuk ke rumah. Saya terus selamatkan dokumen dan barang penting sahaja sebelum berpindah ke PPS,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan.

Seorang lagi mangsa, Norhayati Swandi, berkata kenaikan paras air yang pantas menyebabkan beliau tidak sempat menyelamatkan kebanyakan barangan rumah.
“Air naik terlalu cepat, kami tidak sempat angkat barang. Tilam dan bantal semuanya basah,” ujarnya.

Sementara itu, Halimah Bukri berkata beliau lebih bersedia selepas menyedari paras air semakin meningkat sejak awal.
“Apabila nampak air makin naik, saya terus bersiap dan bersedia untuk berpindah ke PPS sekiranya keadaan menjadi lebih teruk,” katanya.
Mangsa-mangsa banjir kini berharap keadaan cuaca kembali pulih dan air surut dengan segera agar mereka dapat pulang ke kediaman masing-masing dan memulakan proses pembersihan rumah.
Oleh Norman B dan Shahrul Qaizat